Tomis Adventure Heaven Of Hill Lokasi Menarik Di Tamparuli

Oleh : Rayner Giun

TUARAN : Berbekalkan semangat kemenangan selaku juara, dalam pertandingan PITCH BORNEO 2017 serta semangat belia yang mahu menerokai khazanah alam, membuatkan kampung Tomis Lama melakar nama di dalam eko pelancongan.

Kampung yang terkenal dengan ‘Bukit Karang-Karang’, di mana nama "Karang-karang" berasal dari sejenis rumput yang tumbuh begitu banyak di bukit tersebut, kini semakin diminati para penggemar aktiviti-aktiviti lasak, setelah dibuka pada 25 November 2018 yang telah dirasmikan oleh Encik Suali Sikir, selaku Pemaju Pembangunan Masyarakat Kiulu (PPM).

Menurut Nickson Dauni, selaku pengurus tempat pelancongan tersebut, mereka telah memulakan kerja-kerja pembersihan tempat tersebut pada penghujung Ogos 2018. Idea untuk membina pelancongan ini juga, tersemat dalam hatinya serta penduduk Kampung di sana apabila melihat ekonomi, yang kini semakin tidak ketentuan.



“Jadi dengan adanya tempat pelancongan ini, para belia dapat pekerjaan dengan menjadi ‘guide’ kepada para pengunjung, dan seterusnya dapat menampung serba sedikit keperluan dalam keluarga mereka” ujarnya.

Tempat pelancongan,yang juga dikenali sebagai ‘Tomis Adventure Heaven Of Hill’ memberikan keunikannya sendiri, seperti air terjun yang melebihi daripada 15 dimensi, melihat ketenangan air sungai yang bersih, melihat sayur-sayuran yang jarang dijumpai, seperti sayur ‘agar-agar’ yang hanya akan tumbuh pada kawasan yang sejuk dan berair, serta perjalanan mendaki bukit yang curam.

Keletihan dalam perjalanan tidak dapat dirasakan kerana, para pengunjung juga akan dapat merasakan suasana alam yang menghijau, serta menghirup udara yang segar dan sejuk. Selain itu, para pengunjung juga berpeluang untuk memandu motor beroda empat.

Bagi para pengunjung yang suka berhibur, khidmat karaoke juga turut disediakan, selain dapat merasakan minuman-minuman tradisi.

Menurutnya, tempat pelancongan yang berjarak  45km dari pekan Tamparuli, 33km dari pekan Ranau dan 5km dari pekan Nabalu ini, akan memakan masa perjalanan dari  ‘starting point’ sehingga selesai, selama 4 hingga 5 jam. Namun itu semuanya terletak  dari rentak perjalanan para pengunjung.



Menurut Nickson, walaupun perjalanan itu agak mencabar dan mengambil masa yang lama, itu tidak sama sekali mematahkan semangat para pengunjung, kerana kebanyakkan pengunjung akan datang sekali lagi di tempat tersebut, kerana telah terpukau dengan keindahan air terjun serta keindahan alam yang hijau.

“Jadi dengan kehadiran para pengunjung yang kini sudah melebihi satu ribu orang, dapat membuka mata bagi pihak-pihak tertentu, untuk memberikan sedikit bantuan, terutama membina tempat-tempat peristirihatan di puncak mahupun di setiap perhentian.

“Dengan bantuan-bantuan para penduduk Kampung, serta dari pihak-pihak kerajaan khasnya, kami dapat memberikan kemajuan dalam pelancongan ini, di masa-masa akan datang. Suka saya katakan, pada bulan Ogos ini, kami telah membuat sedikit promosi dari segi pakej, sempena dengan bulan kemerdekaan, yang kita akan rayakan tidak lama lagi”, ujarnya mengakhiri bicara.

Untuk mereka yang mahu merasakan keunikan tempat pelancongan ini, bolehlah menghubungi mereka di talian, 014-953 9125 (Kiton), 011-2685 2271 (Semindung) atau 013-219 0153 (Sambagan)