Gotong-royong menanam padi eratkan hubungan tali persaudaraan.

Oleh : Rayner Giun

KIULU : Bak kata pepatah, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Inilah perumpamaan yang dapat diibaratkan kepada mereka yang senantiasa bekerjasama untuk melakukan sesuatu pekerjaan, apatah lagi pekerjaan yang memerlukan jumlah orang yang banyak. Pepatah itu sering digunakan bagi masyarakat di pedalaman, terutamanya di negeri Sabah. Bagi mereka, kerjasama itu amat penting kerana dapat mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain di tempat itu dan seterusnya dapat mewujudkan keharmonian dan sikap bantu membantu antara mereka. Baru-baru ini, krew dari FH Production Media, berpeluang untuk turut serta dalam program ‘mogitatabang’ atau bergotong-royong, semasa menanam padi bukit atau padi huma, di Kampung Gonipis Lama, Kiulu.

Tanah yang terletak kira-kira 16 km dari pekan Kiulu ini, telah dijadikan sumber rezeki oleh seorang petani, yang dahulunya seorang guru dewasa di zaman 80-an, iaitu Paulinus Modukil.

Menurutnya, penanaman padi bukit adalah tanaman penting yang telah diusahakan sejak dahulu lagi untuk menampung makanan mereka, selain daripada menanam keladi, ubi kayu, jagung dan sayur-sayuran.

Antara jenis padi yang sering mereka tanam setiap tahun adalah ‘ruhaman’, ‘purak’, dan ‘kondohiron’. Tambah lagi, setiap kali mereka menanam padi, mereka akan menyediakan sebanyak 4 kilo padi untuk ditanam, namun ini semuanya terletak pada keluasan tempat yang ingin diterokai.

Selain memerlukan pengalaman membuat jarak lubang menggunakan ‘tasok’, kehebatan untuk memasukkan padi dalam lubang tersebut juga sangat dititikberatkan, demi mengelakkan adanya pembaziran padi.

Antara kaedah yang sering digunakan untuk memasukkan padi dalam lubang tersebut adalah ‘monirit’, yang menggunakan satu tangan sahaja dan ‘monulai’ yang memerlukan dua tangan.

Padi bukit akan memakan waktu selama 5 bulan untuk mendapatkan hasilnya. Ini berbeza daripada padi sawah yang hanya akan masak sekitar 3 atau 4 bulan.

Bagi mengelakkan pertumbuhan rumput yang banyak, kerja pembersihan harus dilakukan dengan cara mencabut rumput tersebut dengan menggunakan peralatan atau menggunakan tangan sahaja. Pembersihan tersebut harus dilakukan, terutama pada bulan terakhir padi itu akan masak.

Cuaca yang panas pada hari tersebut tidak dirasakan dengan hangatnya kerana sepanjang penanaman itu dilakukan, cerita-cerita yang menghiburkan hati tidak pernah terputus dari awal mula bekerja sehinggalah selesai.

Bagi Primus Japi, yang dulunya pekerja swasta di syarikat Trust Engineering, gotong-royong adalah sesuatu amalan yang baik kerana bukan sahaja dapat meringankan pekerjaan tersebut, malah dapat mewujudkan pemuafakatan dan mengeratkan hubungan silaturahim di antara keluarga dan masyarakat dalam sesebuah kampung tersebut.



“Kepada mereka yang dahulunya orang kampung, jangan malu untuk mengaku sebagai orang kampung dan asal usul kamu di kampung kerana pekerjaan ini adalah kerja turun temurun daripada nenek moyang kita.

“Bagi mereka yang masih tinggal di kampung, usahakan lah tanah kamu, biarkan saja orang mengata di luar sana. Yang penting apa yang kita kerjakan ini bukan perkara yang tidak baik. Kita semua haruslah sentiasa berusaha dalam apa juga perkara, asal jangan lupa Tuhan,”Ujar ayah kepada empat orang anak itu.

Penanaman padi yang dimulakan seawal jam 8.00 pagi dengan kehadiran penduduk kampung sebanyak 20 orang telah selesai pada jam 11.30 pagi.

Antara pengalaman yang akan menjadi kenangan sepanjang kebersamaan di sana adalah dapat makan buah-buahan, bercerita dengan penduduk di sana, dan makan bersama dengan lauk yang belbagai jenis, seperti bosou dan jeruk bambangan.