Aku Bersekedudukan Dengan Makhluk Halus

Sudah setahun dua bulan aku hidup di perantauan. Mencari rezeki untuk sesuap nasi. Dulunya aku bertugas di Kota Kinabalu namun kini telah bertugas di Pulau Bebas Cukai Pulau Labuan. Suami dan anak-anak ku tinggal di Kota Kinabalu manakala aku keseorangan di sini. Pertama kali aku menjejakkan kaki di rumah sewa ku di sebuah taman di Batu Arang ini, hati ku sudah tertarik dengan keadaan rumah ini. Entah kenapa tapi suasana cukup tenang, rumah di hujung, dan tanah yang luas, sesuai untuk becucuk tanam dan dekat dengan pejabatku. Di luar pagar rumah ini ada tanah terbiar dipenuhi samak samun dan ada sebatang pokok besar yang saya tidak pasti apakah pokok itu. Aku tertarik dan terus menyewa di sini walaupun suamiku tidak berapa selesa dengan kedudukan rumah ini. Menurut pemerhatianku, rumah ini telah dibina pada era tahun 80an, berdasarkan kepada rekabentuknya.

Cerita mistik bermula apabila aku pertama kali tidur di rumah ini. Pintu sebuah bilik di hujung rumah ini, terbuka dan semua pintu dapur terbuka. Dengan tiba-tiba pintu bilik itu tertutup sendiri dengan kuatnya sampai kedengaran bunyi dentuman ( menghempas ). Pada ketika itu, saya tidak hairan kerana saya yakin itu adalah angin yang kuat dari luar rumah. Kadang kala pintu dapur juga tertutup kuat dengan sendirinya dan menyebabkan saya terkejut. Saya pada ketika itu langsung tidak berfikiran negatif dan saya buka semula pintu dapur itu dan sangga dengan bangku.

Ada kalanya ketika aku sudah tutup pintu bilik dan dapur, pintu itu terbuka dengan sendirinya dan saya merasa pelik tapi pada masa itu, aku hanya berfikir aku tidak menutup rapat pintu itu. Kejadian berulang-ulang dan terus berulang-ulang. Pernah banyak kali ketika aku sedang duduk di ruangan tamu membuat kerja di komputer, tiba-tiba botol air mineral yang besar terjatuh dan membuatkan aku terkejut. Semuanya ku sangka angin daripada kipas. Tapi sebenarnya agak mustahil ianya terjatuh dengan hanya kerana angin kipas, sebab botol air itu sudah lama berada di atas meja. Pernah kerap kali aku sedang tidur, tiba-tiba pintu bilik hujung tertutup kuat. Dan ada kalanya pintu bilik ku terbuka dan ku hanya menyangka aku tidak menutup rapat pintu itu. Pernah juga kerap kali ada bunyi gegaran dan bila ku amati, bunyi itu seolah olah berada di atas siling dan ku sangka ada tikus berlarian di atas sana. Namun lama kelamaan kejadian berulang, ku cuba amati sekali lagi dan mendapati gegaran itu datangnya dari pintu bilik. Pada ketika itu, ku sangkakan ada cicak sedang melakukan perkara terkutuk di atas sana namun lama kelamaan saya tidak berpuas hati dan suatu masa, bila ada gegaran dan aku terus perlahan-lahan menyentuh pintu bilik dan ternyata gegaran itu datangnya dari pintu itu. Saya terus beranikan diri dan terus membuka pintu tersebut dan berteriak ‘hahhhh!” dan tutup semula. Sejak dari itu, tidak ada lagi gegaran dan pada masa itulah aku mulai merasa lain dan ada sesuatu yang berada di dalam rumah yang kini ku diami. Walaupun demikian, aku tetap beranikan diri tinggal seorang di rumah ini dan menganggap tidak ada apa-apa yang berlaku. Namun di masa yang sama, kejadian pintu tertutup dan terbuka, barang terjatuh masih lagi berlaku dan aku hanya akan bercakap ‘jangan kacau saya’.



Suatu hari seorang rakan pejabat datang ke rumah untuk melawat dan berborak dengan ku. Dan pada ketika kami berbual, kejadian serupa berlaku. Pintu terbuka tertutup dan barang jatuh. Rakan ku terkejut namun dia tidak menghiraukan kerana aku mengatakan bahawa itu adalah angin. Selang beberapa hari, aku bertanyakan kepada nya apa yang dia rasa ketika berada di rumah hari itu, kerana dia adalah antara orang yang mempunya deria ke enam. Dia memberitahu ku bahawa selain daripada aku, ada ramai yang tinggal di rumah itu. Dia mengatakan bahawa ketika berada di rumah itu, dia melihat sesusuk tubuh seorang perempuan dan di bilik hujung dia boleh rasa aura jahat. Dia menasihatiku untuk pindah dari rumah ini dan sementara itu, dia menyarankan aku untuk membuka semua lampu di dalam rumah termasuk di bilik tidur dan kamar mandi. Kerana dia menyatakan bahawa ia boleh menghalau makhluk halus itu daripada berada di dalam rumah. Dia juga melihat kelibat seorang perempuan tidak bermuka berada di luar melihat ke arah dalam dan bersembunyi bila kawanku itu menjelingnya. Rakan ku juga menyarankanku agar membakar tray telur di luar dan membakar racun nyamuk di dalam rumah untuk menghalau makhluk tersebut.



Sejak dari itu, aku sudah tahu kehadiran mereka di sini dan apa yang ku buat adalah, membuat apa yang disarankan dan akan bercakap ‘jangan ganggu’ jika ada perkara aneh berlaku. Rupanya selama ini aku bersekedudukan dengan makhluk halus. Mungkin ini lah sebabnya orang yang sebelum ini tinggal di rumah ini hanya bertahan selama 8 bulan. Perkara seram dan tiba-tiba bulu roma berdiri itu, jangan cakap lah. Semua telahku lalui. Itu Sahaja perkongsian misteriku di pulau Labuan.



Penafian: Setiap nukilan pembaca adalah tanggungjawab sepenuhnya oleh si penulis. Pihak FH Media tidak bertanggungjawab terhadap sebarang bahan yang di siarkan di bahagian topik ini.