Sabah VFM bersiaran secara langsung di tiga lokasi sempena Sambutan Hari Radio Sedunia 2020



Dengan membawa tema 'Radio Dan Kepelbagaian', radio RTM Sabah VFM akan bersiaran secara langsung sekitar 7.00 pagi sehingga 5.00 petang di Daerah Tenom, Ranau, serta Kota Marudu pada 13 Februari 2020 bersempena dengan sambutan Hari Radio Sedunia.



Menurut Pengurus Sabah VFM, RTM Sabah iaitu Lalita Sundram ketika dihubungi, program itu dijalankan bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Radio Sedunia 2020 serta memantapkan imej mahupun peranan siaran radio Sabah VFM dan mahu menjalinkan hubungan baik antara pemimpin dan juga masyarakat.



"Siaran secara langsung itu nanti akan menggabungkan enam bahasa yang terdiri daripada bahasa Kadazan, Cina, Inggeris, Bajau, Murut dan Dusun.



"Kami juga akan mengadakan pelbagai aktiviti yang menarik pada hari tersebut serta membuka slot yang terbuka bagi memberikan ruang kepada setiap bahasa ke udara sepanjang sepuluh jam pada hari itu nanti.





"Dengan adanya program mahupun pengisian seperti ini, pendengar mahupun peminat radio ini (Sabah VFM), dapat menjalinkan hubungan yang lebih erat lagi dengan Penyiar (Dj) radio Sabah VFM itu nanti.



"Jadi saya mahu mengajak orang ramai untuk mendengar siaran radio tersebut melalui siaran secara langsung di laman Facebook kami, serta My Klik dan RTM Mobile, pada hari itu nanti dan di hari-hari seterusnya." Katanya kepada FH Media.



Kongsinya lagi, unit penyiaran radio RTM Sabah VFM akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah mahupun Majlis Daerah di ketiga-tiga tempat tersebut, bagi menjayakan program yang cukup besar itu.