Usahawan kraftangan Jusnah Jinos bermula dengan upah 30 sen



Bermula dengan mengambil upah membuat tempahan kraf gelang tangan orang lain dengan kadar upah 30 sen untuk satu pek, akhirnya Jusnah Jinos@Kinsun Pengusaha Bengkel Kraftangan Kampung Bitoon Ranau ini tidak lagi menoleh ke belakang dan terus mengatur langkah sehinggalah dia berjaya meraih beberapa anugerah.

Sebagai seorang suri rumah sepenuh masa pada ketika itu, dia mengakui tujuannya pada asal hanya mahu mencari duit sampingan dan ingin mengisi masa lapang di rumah.



"Hari demi hari minat pun timbul kerana saya dapat duit upah hasil dari kerja tangan sendiri.

"Duit upah itu saya kumpul dan membeli bahan asas seperti manik dan keperluan lain, saya buat dan terus buat sehingga saya dapat mengumpul beberapa pek.

"Kemudian saya cuba menjual kepada rakan- rakan dan juga di tamu, syukur juga kerana sambutan menggalakkan.



"Bermula dari situlah saya terus fokus dan memberi perhatian terhadap pembikinan Kraf Pembuatan Manik Baju Tradisi dan kelas kemahiran," katanya kepada FH Media ketika dihubungi.

Menurut wanita berusia 41 tahun ini, setelah kraftangan maniknya semakin dikenali, dia memasarkan pula secara atas talian di media sosial seluruh Sabah, Malaysia dan luar negara tetapi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia memasarkan produknya itu di EKraf Bazaar.



Ditanya bagaimana dia mengembangkan kemahirannya dalam bidang pembikinan kraf itu, dia memberitahu yang dia ada mengikuti pembelajaran melalui agensi, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Perbadanan  Kraftangan Malaysia Yayasan Sabah dan beberapa lagi organisasi bukan kerajaan.

Selain sokongan keluarga, dia juga mendapat banyak sokongan daripada KPLB Sabah, Kraftangan Malaysia dan pejabat Daerah Ranau untuk mengembangkan syarikatnya iaitu Jusnah Craft Enterprise yang membawa jenama 'DALAI'.



"Sejak saya mula beroperasi secara serius pada 2005, saya telah diberi beberapa anugerah iaitu pada 2016 saya telah diberi Anugerah Ikon  Belia, 2018 Anugerah Usahawan dan pada 2019 pula mendapat Anugerah Tokoh Usahawan Wanita.

"Saya mempunyai komuniti sendiri, sekiranya kami banyak tempahan, saya akan agih-agihkan tempahan tersebut untuk mereka buat dan dengan cara ini juga saya dapat membantu komuniti saya itu menambah sedikit pendapatan mereka.



"Cabaran yang dihadapi sepanjang berkecimpung dalam bidang ini ialah saingan kraftangan dari luar negara dan kekurangan bahan mentah di mana saya terpaksa turun ke pusat bandar Kota-Kinabalu untuk mendapatkan bahan.

"Harapan saya agar apa yang saya usahakan ini akan lebih meluas dan mengharapkan lebih kejayaan pada masa akan datang.

"Perancangan akan datang sudah pasti mahu memperluaskan lagi perusahaan ini dan  merialisasikan impian saya.



"Saya juga mengharapkan agar lebih ramai pelapis dapat berkecimpung dalam bidang ini agar kemahiran dalam seni kraf ini sentiasa terjaga dan tidak pupus.

"Saya juga mengharapkan kawan- kawan yang berada di luar sana agar mempupuk semangat cintaikan kraf kerana seni itu indah dan anda tidak akan rugi sekiranya kalau anda buat dan serius, anda akan dapat hasil yang memuaskan," katanya mengakhiri perbualan.


Comment As:

Comment (0)

No comment found!