Lebih baik salurkan duit PRU kepada Rakyat



Sudah lama tidak menulis cerita soal politik. Kali terakhir pada 2005. Saya terpanggil untuk melontarkan komen tentang senario Politik semakin panas yang melibatkan dua gergasi Politik Sabah. Perebutan kuasa ini menyebabkan rakyat menjadi mangsa dan terpaksa akur dengan keputusan yang telah diwartakan. 



Pembubaran DUN sememangnya dilihat adalah jalan penyelesaian yang terbaik selepas penghijrahan ADUN dari pihak pemerintah kepada pihak pembangkang, namun adakah dengan melaksana kan pengundian semula akan menyelesaikan kemelut ini?



Jika sekiranya perkara sama berulang dengan keputusan undian gantung 30-30, atau 28-32, adakah wakil rakyat yang di beri mandat rakyat mempunyai integriti yang tinggi? Adakah mereka tidak akan melompat parti seperti yang kini telah berlaku?



Jika tidak ada perubahan, untuk apa menyusahkan rakyat dengan meminta untuk di undi yang kononnya mahu mewakili suara rakyat di DUN tersebut, sedangkan selepas menang tidak ada perubahan yang berlaku dan sewenang-wenangnya melompat parti?



Secara peribadi, pemilihan semula wakil rakyat sangat baik kerana rakyat boleh memilih mana YB yang boleh dipakai dan tidak boleh dipakai, namun jika difikirkan semula ianya sangat tidak wajar untuk dilaksanakan kerana negara kita belum pulih daripada Pandemik COVID-19 yang bukan hanya meragut ratusan nyawa tetapi telah membuatkan rakyat terkesan dari segi modal insan.

Ramai yang kehilangan pekerjaan, ramai yang susah mencari wang untuk hidup, ramai yang susah mendapat pekerjaan, terpaksa ikat perut.



Rakyat Sabah telah menjalani kehidupan yang cukup sukar sejak Mac dan kenapa menambah kesusahan rakyat gara-gara memenuhi nafsu politik?



Seperti yang kita tahu, untuk berkempen, ia memerlukan belanja yang cukup besar. Selain daripada membayar wang pendaftaran, mereka yang bertanding juga perlu mengeluarkan belanja yang cukup besar untuk mengerakkan jentera masing-masing dan mungkin boleh mencecah dua juta atau lebih.



Pembelian poster, baju, bendera, gaji petugas, makan minum di markas masing-masing memerlukan perbelanjaan. Dari mana pula mereka mendapat wang sebanyak ini? Ekonomi negara masih belum pulih dan adakah perkara ini tidak dipertimbangkan sebelum membuat keputusan? Jika ada duit sebanyak ini setiap DUN, kenapa tidak diberikan sahaja kepada rakyat di DUN tersebut bagi meringankan beban mereka selepas COVID-19 melanda? Kenapa perlu membazir duit buat Pilihanraya kilat?



Walaupun wang sebanyak dua juta tidak cukup untuk diberikan kepada semua orang dalam DUN terbabit, sekurang-kurangnya ada dan boleh buat satu perkara yang memberi keuntungan bersama contohnya memberikan mereka kursus kemahiran supaya mereka ada ruang untuk mencari pendapatan dalam kemahiran kelak, memberi buah fikiran kepada mereka tentang apa yang boleh dilakukan dengan tanah yang ada dan memberi suntikan dana untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan.



Kini penyakit berjangkit ini sudah kembali aktif dan berkemungkinan PKP akan dilaksanakan jika sekiranya keadaan seperti Mac lalu.

Pihak Kerajaan juga telah memberi amaran agar rakyat mematuhi SOP dan adakah masa pengundian nanti semua boleh ikut SOP?



Sebagai orang yang terkesan dengan perkara ini, cukup terkilan dengan apa yang berlaku. Saya tidak menyokong mana-mana pihak namun perkara ini wajar diambil perhatian serius dan dipertimbangkan semula dan seharusnya undang-undang lompat parti wajar di wartakan.



Sejak sekian lama, isu ini tidak pernah selesai dan kini sudah tiba masanya undang-undang lompat parti perlu di wujudkan ataupun mungkinkah wajar golongan profesional yang berkelulusan tinggi dan berkelayakan menjadi peneraju dan mewakili rakyat, kerana golongan ini bukan hanya mempunyai pengetahuan luas dan berpendidikan tinggi tapi juga tidak kebal dengan undang-undang dan terikat dengan perundangan negara. Golongan profesional boleh didakwa jika didapati salah guna kuasa dan mengambil rasuah.



Apapun, terima kasih kepada Media Hiburan FH Media kerana memberi ruang kepada saya untuk meluahkan rasa kekesalan terhadap apa yang kini sedang berlaku. Sama-samalah kita berfikir mana yang sesuai dengan keadaan kini. Saya bukan orang kaya dan tidak ada kepentingan dalam mana-mana parti politik, saya adalah orang yang terkesan dengan COVID-19.

Sekian dari saya Gorongot.

 



 



P/S: Ruangan ini adalah bebas dan FH Media tidak berpihak kepada mana-mana individu dan segala tulisan di ruangan ini adalah tanggungjawab penulis sendiri.


Comment As:

Comment (0)

No comment found!