Stadium Likas diserbu peminat



Seawal empat pagi kelmarin, penyokong sang badak dari seluruh pelusuk negeri Sabah menyerbu kaunter tiket Stadium Likas bagi mendapatkan tiket perlawanan antara Sabah FC dan JDT jam 8.15 malam ini.

Terdahulu, kaunter tiket perlawanan yang dibuka secara atas talian telah habis dijual dan menyebabkan pihak pengurusan Sabah FC mengeluarkan tiket secara manual di kaunter tiket di Stadium, dengan jumlah yang terhad.

Dalam perkongsian Facebook kelab peminat Sabah FC, ramai yang berkongsi gambar semasa mereka berbaris di Stadium. Turut mencuri tumpuan ada antara penyokong sanggup menunggang motosikal daripada Tawau ke Kota Kinabalu menggunakan jalan Kalabakan dan membawa botol berisi minyak tambahan.

Suasana di luar stadum penuh sesak dan meriah dengan para penyokong yang berbaris membeli tiket dan pemain pasukan Sabah FC turut tidak ketinggalan berama mesra dengan peminat sambil mengagihkan minuman kepada penyokong yang berbaris membeli tiket.

Namun disebalik kemeriahan itu ramai yang kecewa kerana kehabisan tiket, dan ada juga beberapa insiden yang berlaku di mana ramai antara mereka memotong barisan yang menimbulkan ketegangan.

Melihat kepada keadaan tersebut, bekas ADUN Kemabung Jamawi Jaafar menyumbangkan satu skrin besar di gelanggang bola keranjang berdekatan dengan stadium bagi membolehkan peminat yang datang dari jauh untuk menyaksikan perlawanan itu di luar stadium. 

Seramai 35,000 orang bakal menyaksikan pertembungan antara pendahulu liga super JDT dan Sabah FC di Stadium Likas, yang kini menduduki tangga kedua dengan perbezaan satu mata. 

Perlawanan ini bukan hanya dinantikan oleh peminat kedua-dua pasukan tetapi juga seluruh peminat bola sepak tempatan yang ingin melihat adakah ego JDT dapat dileburkan di Likas dan memecah rekod tanpa kalah JDT ataupun disebaliknya.

Dalam  pada itu, sebelum perlawanan berlangsung para penonton akan disajikan dengan persembahan nyanyian daripada Juara The Big Stage Elica Paujin dan kumpulan Masmonia.