Peminat Sabah FC mahu sistem nombor tempat duduk di Stadium Likas dibuat.



Saingan bola sepak Liga Super kini semakin sengit dengan beberapa pasukan yang dahulunya berada di kedudukan bawah liga, dilihat menempah nama dalam kedudukan lima teratas liga. Sabah FC antaranya yang pada 2021 hanya menduduki tangga kelapan kini menjadi pesaing terdekat yang mengekori pasukan JDT, yang kini menghuni takhta liga.



Para peminat Sabah FC yang dahulunya kurang berminat untuk menonton perlawanan pasukannya kini semakin gairah untuk hadir ke Stadium Likas bagi memberikan sokongan padu kepada Sang Badak, sehinggakan pada perlawanan pasukan itu menentang JDT baru-baru ini memperlihatkan lebih 30 ribu penonton yang hadir membanjiri stadium Likas.



Namun demikian, disebalik kegairahan itu terdapat masalah yang dihadapi para penonton, dan perlu diambil tindakan segera daripada pihak pengurusan antaranya tempat duduk penonton yang tidak mempunyai nombor.





Menurut pengguna Facebook Rancho Vitas dalam ciapannya dalam kumpulan peminat Sabah FC Fan di Facebook, beliau mengakui pernah menghadapi masalah mengenai dengan tempat duduk. Katanya, dia pernah tiga kali membeli tiket di bahagian grandstand namun selepas sampai pada waktu perlawanan, tidak ada tempat duduk untuknya.



Beliau turut meluahkan rasa kekesalannya dengan berharap agar petugas yang ditugaskan untuk mengawal pintu masuk menyemak sebaik mungkin tiket penonton yang lain.



Dalam ciapannya itu, ramai pengguna Facebook yang juga peminat Sabah FC turut melahirkan rasa kekesalan dan berharap ada tindakan yang diambil bagi menangani masalah tersebut.



Ada antara mereka mendakwa, mereka kehilangan tempat duduk selepas mereka keluar untuk ke tandas.





“Sedikit masa lagi, stadium Likas akan kosong kalau perkara ini berterusan. Petugas kena pastikan. Mungkin lebih elok hanya menonton melalui Youtube sahaja,” kesal pengguna Facebook Matt Amr.



Pengguna Facebook Kelana Mel turut mencadangkan agar masalah tersebut diambil perhatian dan bagi mengelakkan kejadian itu berulang, beliau mencadangkan agar pihak pengurusan membuat tempat duduk sama seperti menonton wayang yang mana semua tempat duduk mempunyai nombor.



Sabah FC akan menentang Selangor FC dalam saingan suku akhir Piala FA pada Sabtu ini 27 Julai 2022 di Likas, dan mungkinkah dengan masalah yang berlaku ini akan menjejaskan jumlah kehadiran penonton ke Stadium, dan memilih untuk duduk di rumah menonton perlawanan tersebut di Youtube? Ianya terletak kepada tindakan Pengurusan Stadium. Pihak pengurusan wajar mempertimbangkan perkara ini agar memberikan sedikit kebajikan kepada para penonton yang sanggup membelanjakan sejumlah wang dan datang dari jauh semata-mata untuk menyokong pasukan kesayangan mereka.



 


Comment As:

Comment (1)