Sabah ratah PJ City



Petaling Jaya: Hasrat Petaling Jaya City (PJ City) menambah derita Sabah FC dalam saingan Liga Super malam tadi gagal apabila skuad Sang Badak meratah The Pheonex dengan jaringan dua berbalas satu.



Ketiadaan ramai tonggak utama Sabah akibat kecederaan menyebabkan mereka hampir tenggelam dengan serangan bertali arus PJ City. Darren Lok berjaya meletakkan PJ City di depan pada minit ke-34 apabila penyerang kebangsaan itu berjaya meloloskan dirinya dalam kawalan pertahanan Sabah, dan menanduk masuk bola sepakan sudut V Ruventhiran.



Sungguhpun Sabah memberikan saingan sengit dan beberapa kali membuat percubaan namun gagal disempurnakan sepenuhnya.



Namun demikian, sebaik saja babak kedua bermula, Sabah yang hanya menampilkan seorang sahaja pemain import iaitu Taiki Kagayama tiba-tiba bertindak garang dan seolah-olah permainan babak pertama baharu sahaja bermula.



Serangan bertali arus Sabah berjaya diterjemahkan dengan jaringan pertama Taiki Kagayama yang melakukan tindakan susulan selepas percubaan Nazirul Naim Che Hashim diselamatkan penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz pada minit ke-48 dan menjadikan keputusan seri satu sama.



PJ City turut melakukan beberapa kali percubaan namun ketangkasan penjaga gawang Sabah Khairul Fahmi Che Man megahapkan hasrat pasukan ini untuk menambah derita Sabah yang sebelum ini tewas dengan Selangor FC 2-1 di Stadium Likas.



Jaringan kemenangan Sabah hadir apabila pemain gantian Irfan Fazail menampan bola masuk ke gawang gol PJ City hasil hantaran kemas pemain gentian Maxsius Musa pada minit ke-75.



Dalam perlawanan itu, ramai pemain tempatan Sabah beraksi antaranya Hanafi Tokyo, Umaring Bachok, Rowilson Batuil, Alto Linus, Maxius Musa, dan Gerard Gadit.



Sabah mengekalkan kedudukan di tangga kedua di bekalang JDT dengan 28 mata, manakala PJ City kini di tangga kesembilan dengan 11 mata.