Koperasi Star Sabah Berhad perkasa ekonomi pengusaha halia



Kota Kinabalu: Integrasi dan koloberasi di antara Koperasi Sabah Berhad sebagai satu organisasi yang mempunyai ramai ahli, dengan Syarikat Matang Wawasan yang telah memulakan projek komuniti halia di Pulutan, Kota Marudu telah dibentuk untuk memperkasakan ekonomi para pengusaha halia di Sabah.



Pengerusi Koperasi Star Sabah Berhad, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata ramai pengusaha halia secara kecil-kecilan, tetapi impaknya tidak begitu ketara sedangkan produk halia merupakan produk yang unik dan boleh dipasarkan di seluruh dunia. Selain itu, produk ini baik untuk kesihatan dan makanan serta mempunyai potensi pasaran dan ekonomi yang besar.



“Dengan kolaborasi ini, kita akan dapat menyusun satu pendekatan baharu yang lebih meluas, merangkumi usahawan-usahawan kecil, untuk menjadi rangkaian berimpak bagi meningkatkan ekonomi mereka.



“Rintangan yang dihadapi pengusaha-pengusaha halia ialah pasaran, logistik dan pengilangan. Kesemua masalah tersebut dapat diselesaikan dan dapat dieksploitasi untuk menjadikan industri halia lebih luas, lebih sukses dan lebih menguntungkan,” katanya.



Sementara itu, serentak dengan pra pelancaran pada Selasa, sesi sidang akhbar promosi produk halia di London juga sedang berlangsung.



Bersama dengan Setiausaha Koperasi Star Sabah Berhad Datuk Dr Saiman Sandah, Dr Jeffrey meluangkan sedikit masa untuk bersiaran langsung dengan London melalui melalui persidangan video.



Beliau berharap melalui program Malaysian Food & Fashion Fiesta @ Halia UK yang akan diadakan pada 16 hingga 18 September nanti akan dapat memberikan ruang kepada produk serbuk halia keluaran Koperasi dan dipromosikan secara meluas untuk pasaran di Eropah.



“Selama ini halia mentah dihantar ke Malaya untuk dikilangkan tetapi di masa akan datang halia mentah boleh diproses di Sabah, sekaligus mengurangkan kos dan masa serta memperkasakan lagi ekonomi pengusaha dengan kos yang lebih rendah,” tambahnya.



Katanya lagi, kilang memproses halia akan dibina di Tambunan pada tahun ini samada ia sebuah kilang yang baharu ataupun memindahkan kilang yang sedia ada di Malaya ke Sabah.



Borang Pendaftaran FH Idol 2 width=100℅">

Dalam pada itu, Penasihat Matang Wawasan Enterprise, Dato’ Sri Dr. Adalbert Kinson berkata jika dibandingkan dengan kilang pengeluar serbuk halia yang lain, kilang yang dinyatakan itu adalah pemegang sijil halal.



“Halia ini paling sesuai ditanam di Sabah dan mempunyai khasiat-khasiat yang tinggi. Seperti yang dikatakan oleh Dr. Norman, kita mempunyai asas pasaran yang lebih kuat kalau dibandingkan dengan halia-halia tempat yang lain.



“Kita akan menggalakan penanaman halia di seluruh Sabah dan menggunakan pusat-pusat pengumpulan hasil yang ada iaitu enam Pusat Pengumpulan Hasil KPD. Kalau tidak cukup akan ditambah lagi.



“Enam Pusat Pengumpulan Hasil (APCC) Koperasi Pembangunan DESA (KPD) di seluruh Sabah antaranya di Kundasang, Kota Marudu, Beaufort, Telupid, Lahad Datu dan Keningau di mana APCC Kundasang dan APCC Kota Marudu sudahpun memulakan operasi,” ujarnya.



Tambahnya lagi Koperasi akan menyusun pemasaran yang lebih mantap dan pemprosesan yang lebih besar, dan dengan demikian akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan. Latihan khas penanaman halia juga akan diberi khusus untuk mereka yang mahu menceburi bidang tersebut.



“Halia Sabah adalah halia nombor satu di dunia. Koperasi Star Sabah Berhad bersama Syarikat Matang Wawasan akan mulai mengekspot halia mentah dan halia serbuk ke Australia, United Kingdom, Arab Saudi dan Eropah dalam masa terdekat,” akhirinya.