Badak tersungkur di Stadium Likas


Likas: Pasukan Bola Sepak Sabah FC terpaksa berputih mata apabila gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri selepas tewas 3-2 di tangan Gergasi Merah Kuning Selangor FC dalam saingan Liga Super 2022 sebentar tadi.


Gol pertama pasukan pelawat hadir selepas percubaan cantik Mukhairi Azmal di minit ke-24, di penjuru kanan pintu gol Sabah gagal diselamatkan oleh Penjaga Gol Sang Badak Khairul Fahmi Che Mat.


Selang satu minit selepas jaringan pembukaan itu, Selangor menambah derita Sabah dengan gol kedua, jaringan Brendan Gan di minit ke-25 hasil lorongan cantik Herlison Caion di dalam kotak penalti Sabah.


Sungguhpun ketinggalan 2-0 di belakang Selangor, Sabah tidak patah semangat dan sepakan percuma ketua pasukan Sang Badak Baddrol Bakhtiar di luar kotak penalti Selangor di minit ke-30 terkena palang dan melantun menerjah jaring menewaskan penjaga gol Selangor Samuel Somerville.


Tidak berpuas hati dengan jaringan pertama, penyerang kontroversi Sabah Jose Embalo membuka akaun jaraingan dengan memperdaya tiga benteng pertahanan Selangor dan menjaringkan gol di minit ke-41. Kedudukan dua sama kekal di separuh masa pertama.



Borang Pendaftaran FH Idol 2

Permainan pada malam ini seimbang dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan dengan keadaan hujan yang turun dengan lebatnya.


Separuh masa kedua perlawanan dilihat kurang sengit berbanding perlawanan separuh masa pertama, yang mungkin disebabkan kedua-dua pasukan berhati-hati kerana cuaca yang kurang baik.


Selangor menggandakan serangan dan beberapa kali membuat percubaan tepat di pintu gol Damien Lim yang bertindak cemerlang menggantikan Khairul Fahmi, namun akhirnya bolos di minit ke-76 hasil jaringan Hein Htet Aung selepas pertahanan Sabah Jackson De Souza gagal mengawal keadaan di sebelah kanan dalam kotak penalti Sabah.



Sungguhpun lima pemain gantian dimasukkan antaranya Farhan Roslan yang menggantikan Nazirul Naim, Azhad Harraz menggantikan Jose Embalo, Rawilson Batuil menggantikan Alto Linus, dan Irfan Fazail menggantikan Baddrol Bakhtiar namun serangan Sabah tidak berjaya menembusi benteng pertahanan Selangor sehingga tamat masa perlawanan.


Selepas tercicir tiga mata, Sabah kekal di tangga kedua liga dengan memungut 36 mata diekori rapat oleh negeri Sembilan dengan 35 mata, dengan masing-masing telah melalui 18 perlawanan.


Selangor berada di tangga kelapan dengan memungut 20 mata dengan 17 perlawanan mengekori rapat pasukan Sri Pahang dengan 21 mata dengan 17 perlawanan.


Sabah bakal menentang Terengganu FC di Stadium Mizan Zainal Abidin pada 1 Oktober 2022 di pusingan ke-19.