25 Pengawai Penguat Kuasa timba kepakaran Australian Border Force (ABF)



Tanjung Sedili: Seramai 25 orang pegawai penguat kuasa dari pelbagai agensi tempatan telah menyertai tiga hari bengkel yang dianjurkan sempena OPERASI REDBACK XVII mulai Isnin sehingga 10 Mei.



Menurut Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid bengkel yang diadakan ini bertujuan memperkasakan anggota penguat kuasa tempatan seperti Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia melalui teoritikal, praktikal serta taktikal dalam menangani isu-isu jenayah.



“Selaku sebuah agensi yang berpengalaman, pihak Australian Border Force (ABF) turut akan berkongsi kepakaran mereka dalam pelbagai bidang keselamatan khususnya dalam pelaksanaan risikan dan operasi bagi kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya dalam satu sidang media sempena Majlis Perasmian OP REDBACK XVIII pada Isnin.





Turut hadir sama pada Majlis Perasmian OP REDBACK XVIII Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria dan Kaunselor ABF, Superintendent John Flaming.



Aminuddin dalam pada itu memaklumkan OP REDBACK XVII merupakan kerjasama dua buah negara yang telah dilaksanakan sejak 10 tahun lalu hasil daripada perjanjian yang telah dimeterai antara Maritim Malaysia dan ABF dalam usaha membanteras dan mengekang aktiviti jenayah di laut khususnya aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan manusia, dadah, barang-barang kawalan, pemerdagangan orang serta pencerobohan nelayan asing.





“Bersempena OPERASI REDBACK XVIII juga, pihak Maritim Malaysia bersama ABF turut melaksanakan community engagement dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang.



“Selain itu program jaringan komuniti ini akan mengukuhkan lagi hubungan dengan komuniti maritim setempat, seterusnya menerapkan peranan komuniti selaku mata dan telinga kepada penguat kuasa dalam membanteras serta mengekang aktiviti jenayah di laut,” tambahnya.



Aminuddin turut mengingatkan masyarakat khususnya komuniti maritim agar tidak dipergunakan oleh sendiket jenayah dengan menjadi ejen-ejen sindiket seperti tonto, `Spotters’, `Transporters’ dan sebagainya.



“Walaupun bayaran yang diberikan agak lumayan, namun masyarakat perlu mengetahui dan menyedari hukuman berat yang akan dikenakan kepada individu yang melakukan jenayah di laut sekiranya ditahan dan dihadapkan ke mahkamah,” tegasnya.



Dalam program itu juga, Maritim Malaysia dan ABF turut memgedarkan barangan keperluan seperti jaket keselamatan serta bahan-bahan promosi lain kepada penerima.