69 Komando juara keseluruhan rentas halangan Jabatan KDNKA 2023



Cheras: 69 Komando berjaya membawa pulang Piala Pusingan Ujian Rentas Halangan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam PDRM (KDNKA) di Litar Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini pada selesa, apabila merangkul kejuaraan bagi kategori individu serta berpasukan Ujian tersebut.



Koperal Anuar Abu Bakar dari 69 Komando mencatatkan masa terpantas tujuh minit 42 saat menewaskan empat peserta akhir lain menerusi kategori individu.



Dengan catatan masa lapan minit 15 saat, 69 Komando sekali lagi memadamkan impian lain-lain pasukan bertanding bagi menjulang piala pusingan setelah mengungguli kategori berpasukan pada tahun ini.





Turut diumumkan Naib Juara Kategori Individu yang dirangkul oleh Koperal Sharif Nordin Elias dari Batalion 6 PGA dengan catatan masa tujuh minit 48 saat dan tempat ketiga, Lans Koperal Muhammad Shakir Halim dari 69 Komando yang hanya ketinggalan lima saat di belakang tempat naib juara.



Manakala Unit Tindakhas hanya mampu berbangga memahat nama menjadi Naib Juara Kategori Berpasukan, apabila berjaya mencatat masa lapan minit 29 saat diikuti Batalion 6 PGA dengan masa sembilan minit 48 saat untuk menduduki tempat ketiga.



Kesemua hadiah dan sijil penyertaan kepada para pemenang disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Razarudin Husain yang diiringi Pengarah Jabatan KDNKA selaku penaung, CP Dato' Sri Hazani Ghazali.





Ujian yang bermula pada 8 Mei itu disertai 20 pasukan dari pelbagai elemen dalam Jabatan KDNKA termasuk Pusat Latihan PGA dan Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, dengan penyertaan 300 peserta yang terdiri daripada pegawai kanan dan pegawai rendah polis lain-lain pangkat.



Selain menyemarakkan semangat kerja berpasukan, ujian tersebut berjaya mencapai objektifnya untuk melahirkan warga Pasukan yang cergas dan berdaya saing serta menguji tenaga fizikal para peserta yang mengambil bahagian.



Turut hadir dalam program tersebut, Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA (PGA) Bukit Aman, DCP Dato' Muhammad Abdul Halim, DCP Gerakan Jabatan KDNKA Bukit Aman, DCP Dato' Hj. Mohd Yusoff Mamat, Komander Briged Tengah PGA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, SAC Zulkifli Jonit dan barisan Komander Jabatan KDNKA Bukit Aman.