Larangan penggunaan visa pelancongan dan visa umrah semasa musim Haji



Syarikat pengendali umrah dan Jemaah diingatkan agar menyelesaikan ibadah umrah sebelum sesi musim haji bermula yang dijangka akan bermula mulai minggu ketiga bulan Jun 2023 serta mematuhi peraturan semasa yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Perkara ini dinyatakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai sebuah Kementerian yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada agensi Pelancongan dalam bidang Umrah dan seterusnya mengawal selia aktiviti berkaitan, sebentar tadi (13 Mei 2023).





Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, MOTAC turut menasihati umat Islam terutamanya bakal jemaah umrah di negara ini supaya tidak menyalahgunakan kemudahan Visa Pelancong dan Visa Umrah bagi tujuan menunaikan ibadah haji. Peringatan ini diwar-warkan bagi memastikan tiada jemaah umrah yang mengambil kesempatan untuk tinggal lebih masa (overstay) sehingga masuk ke musim haji.

Perkara ini merupakan satu kesalahan di bawah peraturan Kerajaan Arab Saudi iaitu menunaikan ibadah haji tanpa mempunyai permit yang sah. Kerajaan Arab Saudi HANYA mengiktiraf permit haji yang dikeluarkan oleh institusi bertauliah bagi setiap negara seperti Lembaga Tabung Haji (TH).



MOTAC memandang serius berhubung perkara ini kerana ia melibatkan kepentingan dan keselamatan jemaah umrah serta berusaha menghalang berlakunya perkara yang tidak diingini selain daripada menjaga hubungan baik yang telah menjadi antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

Tindakan sewajarnya akan diambil jika terbukti ia melibatkan syarikat pengendali umrah yang dilesenkan oleh Kementerian ini. MOTAC menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang melancong dan mengerjakan umrah agar sentiasa menjaga nama baik negara semasa berada di luar negara.