3,000 Peluang Kerja ditawarkan Sempena Karnival Kerjaya Perdana Kota Kinabalu 2023



Kota Kinabalu: Sempena dengan Karnival Kerjaya Perdana Kota Kinabalu 2023, yang diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Sabtu, lebih 3,000 peluang pekerjaan telah ditawarkan.



Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arifsemasa majlis perasmian programselama satu hari itu,  seramai 24 majikan mengambil bahagian dalam menawarkan pekerjaan pelbagai sektor di Sabah.



"Selain temuduga terbuka, terdapat pelbagai aktiviti dan informasi terdiri daripada 20 pempamer antaranya Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Jabatan Hal Ehwal Wanita, Jabatan Tenaga Kerja, Universiti Malaysia Sabah, Institut Kemahiran Belia Negara serta Sabah Skill Training Centre (SSTC).



"Bagi memudahkan urusan semakan dan khidmat nasihat, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji juga terlibat," katanya.





Ariffin turut menyarankan agar para pencari kerja memanfaatkan portal pekerjaan Sabah Jobs Portal (SJP) dan MyFutureJobs untuk menghubungkan mereka dengan majikan bagi mengelakkan terlibat dengan sindiket penipuan pekerjaan.



"SJP dilancarkan pada 28 Oktober 2021 selaras program kerajaan membudayakan amalan ICT dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.



"Portal ini khusus untuk rakyat Sabah dan kekosongan jawatan yang diiklankan atau didaftarkan oleh pihak majikan adalah peluang kerjaya dari seluruh Malaysia.



"Melalui portal MyFutureJobs pula, bagi tempoh Januari hingga Disember 2022, seramai 52,657 pencari kerja yang aktif direkodkan bagi negeri Sabah dan sebanyak 211,016 kekosongan jawatan telah diiklankan oleh lebih kurang 7,295 majikan yang berdaftar," ujarnya.



Berdasarkan Laporan Pengoperasian Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO setakat Disember 2022, seramai 1,332 penduduk Sabah dilaporkan kehilangan pekerjaan manakala bilangan penempatan pekerjaan adalah sebanyak 32,660 orang.