Jangan Menyeludup Produk Daging Babi Dari Luar Negara - Junz Wong

Oleh: Jasinta Bakar

jasinta@fhmedia.com.my

KOTA KINABALU: Menteri Pemakanan dan Perindustrian Sabah, Datuk Junz Wong mengingatkan rakyat Sabah agar berhati-hati dan jangan sesekali cuba menyeludup atau membawa produk daging babi dari negara luar.

Peringatan tersebut disuarakan beliau kerana kebimbangan terhadap wabak penyakit African Swine (ASF) yang sedang menular ke negara- negara Asia dan terkini ke Filipina.

"ASF yang berpunca daripada babi peliharaan atau babi hutan yang dijangkiti virus sudah menular ke Negara Asia dan antara negara yang sudah disahkan positif ialah Filipina.

"Penyakit ini telah membunuh banyak ternakan babi, walau bagaimana pun masih terkawal di Malaysia berikutan langkah pencegahan yang diambil oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang menghalang pengimportan babi serta produk- produk daripada babi di beberapa negara.

"Bagaimana pun langkah berjaga- jaga perlu kerana AFS sudah pun menular ke negara jiran Filipina dan setakat ini Sabah masih bebas daripada penyakit ini," katanya ketika dihubungi di pejabatnya di sini pada Jumaat.



Rakyat Sabah diingatkan agar jangan memandang remeh perkara ini terutama kepada mereka yang cuba untuk melakukan penyeludupan daging babi atau apa saja produk- produk yang berkaitan.

"Adalah tanggungjawab kita bersama untuk  memastikan barangan makanan seperti daging babi atau produk yang sudah diproses tidak dibawa masuk sewenang- wenangnya dari  negara jiran termasuklah Semenanjung.

"Perkara ini perlu diingatkan kepada rakan- rakan mahupun keluarga kerana penyakit ini mudah berjangkit dan boleh membawa maut," katanya.

Sehubungan dengan itu MAFI melalui JPV sedang melakukan yang terbaik untuk mengetatkan kawalan bagi memastikan African Swine Fever tidak menembusi sempadan Sabah.