Saya benar-benar menangis ketika melakonkan watak Gomput – Lucilla Anggun



Sungguhpun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan, Lucilla Anggun sangat teruja menanti maklumbalas penonton selepas filem Namatai ditayangkan di Pawagam yang telah masuk hari kedua pada hari ini.



Menurut pemegang watak seorang Ibu yang bernama Gomput dalam filem tersebut, beliau mengakui watak tersebut adalah satu watak yang berat baginya, terutama sekali apabila berdepan dengan keputusan suaminya yang menjatuhkan hukuman berat untuk anaknya sendiri.



“Terus terang saya benar-benar menangis ketika melakonkan watak ini, dan pada ketika itu saya ingat anak-anak saya.



“Selepas selesai melakonkan watak itu, saya masih menangis. Aura Gomput betul-betul masuk dalam jiwa saya,” ciapnya dalam satu perkongian di Facebook.



Beliau turut berterima kasih kepada Pengarah filem tersebut Marlin Brando kerana memberikan kepercayaan kepadanya untuk memegang watak Gomput, walaupun mengetahui beliau tidak mempunyai pengalaman berlakon dalam filem atau drama tv pada masa itu.



“Walaupun Saya ibu kepada Penerbit filem ini tapi saya percaya beliau pilih saya untuk pegang watak tersebut bukan kerana sebab itu,” tambahnya.





Beliau turut berharap agar penonton dapat menerima kelemahan watak yang beliau mainkan dan menerima segala kritikan untuk dijadikan sebagai panduan dan pembakar semangat untuk terus berkecimpung dalam bidang perfileman.



“Selepas Namatai makin suka pula dengan bidang ini dan diharap filem ini akan terus pergi jauh, setidak-tidaknya dapat bersaing dengan filem-filem tempatan yang lain,” ciapnya.



Terdahulu, penayangan filem Namatai telah memasuki hari kedua di Pawagam setelah penayangan pertama pada Khamis. Dalam perkongsian Facebook Rasmi Namatai, sambutan penonton ke Pawagam di Sabah untuk menonton filem ini cukup memberangsangkan namun berbeza dengan sambutan filem ini di Pawagam Semenanjung yang menerima sambutan yang kurang baik.



Dalam pada itu, John Samud yang memegang watak O.K.K Gimbad, ayah kepada Onduri, yang juga ayah kepada Penerbit, turut memohon kepada warga Sabah di Semenanjung untuk hadir ke Pawagam berdekatan untuk menonton filem tersebut kerana, tanpa sambutan penayangan filem ini akan ditamatkan.