Mark Marciano Abas Jurukamera Utama Termuda, Filem Malaysia

Oleh : Rayner Giun



Rayner@fhmedia.com.my



Baru-baru ini, FH Media telah mengeluarkan satu berita tentang kejayaan filem Avakas yang telah mengharumkan nama negeri Sabah, apabila penceritaan filem arahan Marc Abas itu telah melepasi satu tahap yang sukar dalam industri perfileman.

Ini membuatkan filem yang menyajikan aksi-aksi yang hebat serta mesej yang mendalam kepada para penonton, kini sudah ditahap yang terakhir dan para pengikut seni perfileman sudah tidak sabar untuk menonton sendiri filem dalam bahasa KadazanDusun ini.

Pada kali ini, portal hiburan nombor satu di Sabah FH Media, akan memperkenalkan para kepada pembaca tentang seorang insan yang memainkan peranan penting dalam pembuatan filem ini, iaitu Mark Marciano Abas(gambar), anak kedua pengarah filem Avakas.

Walaupun dia kini baharu berumur 23 tahun, namun dia sudah menjadi ‘Director Of Photography’ dalam pembuatan sesuatu filem dan ini menjadikan dia salah seorang jurukamera utama yang termuda di negara Malaysia.

Jadi ini sudah semestinya menjadi satu kebanggaan masyarakat di negeri Sabah kerana benar kata orang, negeri di bawah bayu mempunyai banyak bakat dalam seni.

“Permulaan saya dalam bidang ini sememangnya dikala saya menginjaki umur 16 tahun, di mana pada awalnya saya juga seorang pelakon dalam drama mahupun dalam sesebuah filem. Namun dalam masa yang sama, saya sangat tertarik pada kamera dan juga sebagai editing.

“Jadi dari situlah saya memberanikan diri untuk memegang kamera kerana bagi saya, ianya umpama melukis. Apabila seorang pelukis mahu melukis sesuatu lukisan, dia bukan sahaja melahirkan lukisan tersebut, namun pelukis itu mesti menghidupkannya ke layar perak. Demikian halnya, minat saya dalam seni ini.

“Seperti kata orang, jika mahu mencapai sesuatu cita-cita, jangan seperti ‘hangat-hangat tahi ayam’, tetapi jadilah seperti ‘belakang parang jika diasah lagikan tajam’. Jadi untuk memantapkan lagi bakat saya itu, saya telah meneruskan pembelajaran saya dalam pembinaan filem, di mana saya telah pergi menimba ilmu di Sabah Animation Creative Content Centre.

“Antara yang menjadi kenangan terbesar saya sewaktu berada di sana adalah dapat mengenali seorang pensyarah yang terbaik iaitu Indera Che Muda, seorang pemenang anugerah ‘Best Director Of Photography’ di Malaysia.” Ujarnya.



Tambahnya, menjadi seorang jurukamera utama adalah bukan mudah kerana seseorang itu juga harus mempunyai jiwa berani dan kekreatifan. Di mana ada beberapa  tempat kejadian seperti dalam pembuatan filem Avakas, dia terpaksa naik atas bumbung rumah dan atas pokok untuk mengambil sudut yang terbaik kerana Sabah tidak mempunyai kren dalam perfileman.



“Oleh sebap itu, untuk menjadi jurukamera utama dalam filem yang berjaya masa kini, nampak gayanya kita perlu sentiasa mempunyai kesihatan yang baik. Sebab kita tidak lagi bergantung pada tripod, kren atau dolly sahaja, tetapi kita perlukan badan kita untuk menggerakkan semua kamera tanpa peralatan ini.

“Ini cara moden yang perlu ada gimbal. Selain itu, seorang jurukamera itu juga perlu mempelajari penguasaan lampu dan bunyi jika mahu mencapai ketahap seorang pengarah fotografi.

“Jadi dengan pengalaman dan pembelajaran saya dalam pembuatan sesebuah filem, kini saya sudah terlibat dan seterusnya menjayakan lapan filem penuh dan lapan filem beradurasi pendek. Angka lapan dalam filem penuh itu merujuk kepada filem ‘Home Of Hope’, ‘Home Of Hope 2’, ‘Lintah Darat’, ‘The Photographer’, ‘Hero Kirai’, ‘Hood’, ‘Van Lihing’, dan ‘Avakas’.

“Angka lapan dalam filem beradurasi pendek pula merujuk kepada filem ‘Link To The Underworld’, ‘Avakas 1 Minutes’, ‘Portrait’, ‘Christmas’, ‘Way Of The New Breed’, ‘Mee Hilang’, ‘Tinggal 1’, dan ‘Avakas 10 Minit’.” Ujar Mark yang juga peminat dalam permainan Mobile  legend.

Menurutnya, kejayaan filem Avakas melepasi tahap yang sukar dalam FINAS baru-baru ini adalah tanggungjawab terbesar yang sudah berjaya dan seterusnya menjadi satu pencapaian yang terbesar dalam dirinya.

“Kejayaan saya dalam filem ini bukan untuk saya sendiri tapi untuk kita semua, di mana generasi muda juga mampu memikul tanggungjawab besar jika diberikan peluang. Untuk pengetahuan, filem Avakas ini adalah yang filem yang kelapan saya sebagai jurukamera utama, dan saya jadikan angka lapan ini sesuatu yang luar biasa kerana angka lapan adalah tangga untuk pergi ke angka kesembilan.



“Saya sudah menceburi bidang ini sudah tujuh tahun, dan saya tidak akan berhenti di sini kerana saya bercita-cita untuk menghasilkan filem saya sendiri. Saya mahu menandingi ayah saya iaitu Marc Abas.

“Jadi kepada rakan-rakan generasi muda, jika kamu mempunyai bakat dalam seni perfileman khasnya, belajarlah dalam kerja-kerja belakang tabir dan bukannya sebagai pelakon sahaja. Kitalah pelapis penggiat seni yang akan datang.

“Jangan malu untuk belajar dari penggiat filem yang sudah lama, hormati mereka. Tetapi dalam masa yang sama, kita juga perlu pelajari teknik yang baharu dalam generasi muda kerana apabila kedua-dua ini bercampur, sudah pasti kita mampu mencipta sebuah karya yang pelbagai era.

“Walaupun kita masih muda, kita tidak salah untuk bercita-cita sehingga ke langit. Namun pastikan kaki sentiasa bertapak di bumi. Jadi terima kasih kepada ayah saya, atas dorongannya yang tidak pernah berhenti selama ini.

“Datanglah menonton filem Avakas yang akan keluar tidak lama lagi kerana filem ini untuk kita semua. Ianya lahir daripada perasaan cinta kepada seni dan cinta kepada keamanan. Terima kasih semuanya.” Ujarnya mengakhiri bicara dengan memberikan harapan penuh kepada masyarakat diluar sana.





Atas sokongan yang sangat padu terhadap media hiburan nombor 1 di Sabah ini, FH Media akan beroperasi sepenuhnya di dalam alamat laman sesawang baharu bermula 1 Oktober 2019 di sini https://www.fhmedia.com.my