Berlakon Perlu Ada Kesabaran - Elviana Jokinol

Oleh : Rayner Giun

rayner@fhmedia.com.my



Sudah tidak dapat dinafikan lagi, bahawa negeri Sabah juga mampu untuk terus maju kehadapan dalam seni perfileman, apabila pengarah-pengarah Sabahan, kini semakin giat mengasah dan mencari bakat-bakat baharu dalam seni lakonan.

Portal media hiburan Sabah, FH Media yang kerap kali memperkenalkan pemain industri perfileman tempatan yang sudah lama aktif mahupun bakat-bakat baharu dalam seni perfileman amnya sebelum ini juga adalah bukti dan kebanggaan masyarakat negeri Sabah serta menyakinkan kita bahawa, generasi muda negeri Sabah mampu melakukan satu pekerjaan yang luar biasa dalam industri filem tempatan.

Turut tidak ketinggalan bagi seorang penggiat seni lakonan yang akan kami paparkan pada hari ini, di mana pelakon ini baharu sahaja berumur 19 tahun, iaitu Elviana Jokinol. Gadis Sabahan ini, adalah antara pelakon yang terlibat dalam filem arahan Tony Francis Gitom, iaitu Komando Pencen.

“Pada awal mulanya, saya telah dibawa oleh seorang kawan saya untuk melibatkan diri dalam filem ini, namun saya tolak pelawaan dia itu kerana saya merasakan, bahawa saya ini biasa-biasa dan tidak berbakat dalam seni lakonan.

“Namun benar kata orang bahawa rezeki itu ada ditangan Tuhan, dan syukur kerana kini saya sudah terlibat dalam pembikinan filem arahan Tony Francis Gitom ini, di mana filem ini semakin menghampiri kemuncak penggambaran.

“Perasaan saya semasa pertama kali mengikuti seni ini adalah agak gementar, takut, dan juga kurang keyakinan diri, sebab ini adalah pertama kali saya ikut serta dalam seni lakonan.



“Walaupun saya sebagai pelakon tambahan dalam filem ini, namun ini agak mencabar terutama dalam membawakan sesuatu aksi seperti berlari mengejar musuh.

“Jadi ini memerlukan kesihatan mahupun stamina yang kuat dalam seni lakonan. Selain itu, kesabaran dan pengawalan diri itu harus ada kerana dalam filem ini, saya selalu dimarahi dan bermacam perkara lagi yang saya alami dalam seni ini.

“Namun kerana minat dalam lakonan itu sudah semakin dirasai dan terus membarah di dalam kehidupan saya, kini saya semakin yakin dan mampu meneruskan kerjaya seni lakonan,” ujar pelakon kelahiran Salimpodon Darat, Pitas ini.

Walaupun sibuk dengan pekerjaannya sebagai juruwang di sebuah kedai di pekan Menggatal, ini tidak menghalangnya untuk menghadiri setiap sesi penggambaran filem tersebut.

“Jadi saya sangat berharap, agar saya terus kekal dalam seni lakonan dan terus berkarya kerana jika saya diberikan peluang, saya akan terus melebarkan sayap saya dalam industri seni negeri Sabah.

“Ribuan terima kasih kepada FH Media kerana sudi menemubual saya dan terima kasih tidak terhingga, atas kerjasama ini.” Ujar Elviana yang pernah menjadi pelakon muzik video bertajuk ‘Hei Jelita’, lagu oleh Donny Reyn.