Kemenangan Ini Milik Kita Bersama - Frederick Julius

Oleh : Rayner Giun | rayner@fhmedia.com.my





Penyanyi Frederick Julius(gambar) telah mengukir nama dalam industri seni nyanyian negeri Sabah, apabila berjaya merangkul dua gelaran dalam pertandingan Juara Carta Lagu Dusun Sabah Vfm, musim yang ke-7, baru-baru ini.

Frederick yang telah membawa lagu berkisahkan kekecewaan hasil ciptaan sepenuhnya itu, dengan memetik 'Ponindualan Montok Dogo' sebagai tajuk, telah berjaya merangkul kemenangan di tempat yang ketiga dan menerima anugerah sebagai artis paling popular.

Merungkai kisah perjalanannya dalam pertandingan tersebut, dia menyatakan bahawa persiapannya tidak begitu teratur atas faktor kesibukan dengan pekerjaannya.

"Saya merasa bahawa sayalah perserta yang mempunyai masalah untuk memberikan komitmen yang tinggi kepada pihak RTM, terutama dari segi disiplin masa dan komitmen dengan pihak mereka.

"Ditambah lagi dengan penglibatan yang kurang dari saya semasa raptai penuh, di mana saya tidak dapat menyanyi dalam raptai tersebut.

"Walaupun begitu, saya cuba atasi semua ini dengan berfikir secara positif sahaja di mana lagu tersebut sudah kerap kali saya bawakan dalam majlis-majlis dengan baik, kenapa pula di pentas ini, saya perlu risau?

"Jadi dengan usaha dan ketabahan hati, saya betul-betul tidak dapat menyangkah dan sangat gembira apabila merangkul anugerah sebagai artis popular dan ditambah lagi dengan kejayaan memenangi tempat yang ketiga.

"Saya sangat terharu dengan usaha dan sokongan dari peminat-peminat saya. Merekalah yang menjadi kekuatan bagi saya untuk menerima anugerah ini. Ini untuk kamu dan bukan hanya untuk saya sahaja.

"Syukur dan terima kasih kepada Tuhan atas peluang yang diberi itu, dan terima kasih yang tidak terhingga atas sokongan dari peminat dan ahli keluarga saya atas sokongan undian kamu semua.

"Keluarga besar saya dan keluarga saya sendirilah yang senantiasa memberikan dorongan dari segi bantuan, sokongan dan memberikan saya semangat untuk terus tabah dalam bidang seni.

"Jadi di kesempatan ini, saya mahu memohon maaf kepada pihak RTM sebab tidak memberikan komitmen yang baik. Saya janji kalau saya mendapat peluang seperti ini di masa akan datang, saya akan cuba sedaya upaya untuk bagi komitmen yang lebih baik lagi.

"Bagi peminat yang selalu menantikan kemunculan lagu terbaharu dari saya, kamu sabar-sabar dahulu sebab sebenarnya saya kini dalam usaha untuk mengeluarkan lagu baharu. Jadi sabar-sabar dulu lah ya.

"Ucapan terima kasih juga kepada semua krew FH Media kerana sudi menemubual saya." Ujarnya dengan penuh keikhlasan hati.