Benih Seni Medkhatu Simpong Tumbuh Dari Manurizak



Penyanyi Mekh atau nama sebenarnya Medkhatu Simpong (gambar) adalah seorang Penyanyi baharu namun sangat giat melibatkan diri dalam industri seni nyanyian di Sabah.

Dia yang memulakan langkah dalam seni suara melalui pertandingan Sugandoi Kaamatan pada 2016 dan pada tahun ini berjaya menempatkan dirinya di kedudukan 30 teratas dalam pertandingan sama.

Dan bersempena dengan Pesta Magahau peringkat Negeri Sabah baru-baru ini dia telah menjuarai Pertandingan Manurizak.

Menurutnya ketika dihubungi, dari pertandingan nyanyian lah titik mula dirinya sebagai artis rakaman, lagu solo sulung yang dirakamnya pada ketika itu bertajuk Batos.

"Lagu ini adalah hasil ciptaan saya sepenuhnya di mana lagu tersebut telah dimuatkan dalam Album Sakag Tobilung Vol. 2 dan lagu tersebut juga telah dimuat naik dan boleh ditonton melalui aplikasi YouTube.

"Syukur dan puji Tuhan kerana lagu pertama saya ini telah mendapat tempat kedua dalam pertandingan Carta Dusun KB Hitz FM anjuran Times J.

"Kemunculan lagu kedua pula terhasil ketika saya mahu mendirikan rumah tangga, rakan baik saya iaitu Ronny Cyril Paulinus telah menciptakan lagu yang bertajuk Nokopi Iso dan lagu ini juga boleh ditonton di laman sosial YouTube," katanya yang kini bekerja dalam unit SESB Kota Marudu.

Disamping mencipta lagu untuk dirinya sendiri, dia juga telah menghasilkan dua buah lagu yang akan dinyanyikan oleh adiknya serta anak saudaranya dan lagu- lagu tersebut akan dimuatkan dalam Album Sakag Tobilung Vol. 4 nanti.

"Selain itu, saya juga pernah terlibat dalam pembuatan lagu Jalanku, yang berentak Rap bersama dengan K-Yut B-Quexx, lagu ini juga boleh ditonton di aplikasi YouTube.

"Perancangan akan datang, saya kini menunggu masa terluang Penyanyi yang juga Pelakon Tumatik untuk merakamkan lagu duet bersama kerana kini dia sedang sibuk dengan penggambaran dan ianya dalam perancangan akan dilaksanakan pada bulan Disember atau tahun hadapan.

"Saya juga berkemungkinan akan menjalankan satu projek bersama dengan artis dari Bintulu Sarawak iaitu Barry Jugah untuk menggabungkan muzik Sabah dan Sarawak, kolaborasi ini mungkin akan dijalankan pada tahun hadapan.

"Apapun, terima kasih kepada FH Media kerana sudi meluangkan masa bersama dengan saya dan teruskan membuat kerja yang mulia ini, kewujudan FH Media sangat bagus sekali kerana melalui media ini, penggiat seni di Sabah dapat dikenali ramai.

"Jangan lupa untuk langgan siaran YouTube saya iaitu Medkha Suzie dan mengikuti saya di aplikasi Instagram dengan menaip Mekh_Mathew, serta laman sosial FaceBook iaitu Medkhatu Simpong.

"Bagi mereka yang mahu menjemput saya dalam majlis mereka, bolehlah menghubungi saya di aplikasi FaceBook dan juga Instagram, mari kita bersama-sama memajukan dan memeriahkan industri seni hiburan negeri Sabah." akhiri Penyanyi yang berasal dari Taburan Kota Belud ini.