Ungkapannya Pembakar Semangatku - Rayner Giun



Gara- gara kenyataan Penyanyi Tiara tentang kegembiraannya kerana diciptakan sebuah lagu yang sangat menarik oleh Penyanyi, Penulis Lirik dan Pengacara Rayner Giun telah membuat netizen tertanya- tanya sejauh mana hubungan diantara kedua artis ini.

Menurut Rayner, hubungan mereka berdua tidak ada yang istimewa, hanya sebagai teman biasa sahaja.

"Saya bagi lagu tersebut kerana saya yakin bahawa dia mampu membawakan lagu tersebut dengan baik, suaranya boleh pergi jauh dan saya mencipta lagu itu memang untuk dia dan tidak ada kena mengena dengan hubungan kami.

"Tentang kenyataan Tiara itu, saya bersyukur sebab ini penilaian dia sendiri, namun bagi saya, ungkapan Tiara itu menjadi pembakar semangat saya untuk lebih giat dalam penulisan lagu serta menjadikan ini sebagai hadiah dari usaha saya sebelum ini, terima kasih Tiara kerana menerima lagu tersebut," ujarnya.

Jelasnya lagi, perkenalan mereka bermula melalui temubual yang dibuatnya suatu ketika dahulu.

"Sewaktu saya mendengar lagunya yang pertama iaitu 'Tiara Cinta', suaranya mempunyai keunikan dalam lantunan lagu pada zaman sekarang.

"Keistimewaan Tiara adalah lontaran suaranya yang sangat merdu, lunak dan boleh pergi jauh, dia mempunyai kualiti suara yang sangat bagus jika terus digilap dan saya percaya dia mampu buat yang terbaik dalam menyanyikan lagu saya itu.

"Tentang pemilihan lelaki mahupun perempuan untuk menyanyikan lagu ciptaan saya itu, ia bukan masalah bagi saya kerana lagu ini boleh dinyanyikan oleh lelaki mahupun perempuan.

"Kebetulan saya sebenarnya memang mahu mencari Penyanyi yang baharu untuk menyanyikan lagu-lagu hasil ciptaan saya, jika ada rezeki, saya akan mencipta juga lagu untuk Penyanyi lama,"ujarnya lagi.



Lagu 'Kata Hati' merupakan sebuah lagu romantik yang berkisar tentang kisah benar dalam kehidupannya yang diluahkan dalam lagu, ianya bukan untuk Tiara tetapi seseorang wanita yang sebelum ini pernah muncul dalam kehidupannya.

Dalam pada itu, Rayner juga sempat berkongsi tips 'Move On' kepada orang ramai mengikut caranya sendiri.

"Saya belajar dari peristiwa tersebut, apatah lagi saya suka belajar dari sesuatu perkara dalam kehidupan saya, saya akui memang sampai kini belum dapat lupakan keperitan dalam percintaan tetapi saya kena teruskan juga kehidupan kerana jika terus terkurung dalam keperitan, ia akan menjadi duri dalam melalui hidup seharian.

"Semakin dilayan perasaan itu, semakin terasa menyakitkan, saya hadapinya dengan doa  kepada orang yang menyakiti saya serta doa untuk saya sendiri.

"Apatah lagi saya yang seorang pelayan Tuhan di gereja, saya kena kuat untuk hadapi segala kesulitan dan keperitan, luka itu akan sembuh jika kita mengubatinya dan pasti akan ada keindahan disebalik semuanya," tambahnya lagi. 

Jelasnya lagi, kini dia lebih berhati-hati tentang soal percintaan dalam mencari pasangan yang sesuai untuk bersama-sama mendirikan keluarga.

"Ciri-ciri wanita idaman itu tidaklah begitu memilih, cuma saya mahu wanita itu sanggup menerima saya seadanya kerana saya bukan orang yang berada dan dia haruslah seorang  yang sentiasa menyokong pekerjaan serta karier saya sebagai Penyanyi dan Pengacara.

"Yang paling penting sekali, dia haruslah seorang yang peramah dan mempunyai hati yang tulus dan ikhlas," jelasnya ketika ditanya tentang ciri-ciri wanita idaman.

Bagi perkembangan terkini seninya, dia kini aktif dalam menghasilkan lagu-lagu baharu dan merancang untuk membuat kemunculan secara duet bersama seorang artis.

"Tahun ini, saya merancang untuk membuat kemunculan secara duet bersama seorang artis yang memang sudah dikenali, tapi biarlah rahsia dahulu, sampai masanya, saya akan beritahu juga.



"Selain itu, saya akan terus fokus dengan pekerjaan saya sebagai Wartawan di FH Media,  Pengacara dan Pelayanan saya di gereja.

"Terima kasih kepada anda semua yang sentiasa menyokong karier saya dari dulu sehingga sekarang serta mereka yang sentiasa membantu saya untuk diketengahkan sebagai penghibur dalam pengacaraan mahupun nyanyian di majlis-majlis.

"Kepada mereka yang punya cerita cinta seperti apa yang saya alami, jangan terus terbelenggu dalam keperitan tersebut dan jangan terus lakukan sesuatu yang boleh mematikan diri sendiri. Itu semua tidak akan menyelesaikan masalah, tetapi menambahkan masalah.

"Ada baiknya jika kita serahkan kepada pencipta kita dan kita belajar dari kesakitan tersebut, semoga anda baik-baik saja, Tuhan memberkati," akhirinya.


Comment As:

Comment (0)

No comment found!