Saya Akui Kesilapan Lalu - Neil Sondoh



Pernah dilanda kontroversi pada tahun lalu sehingga membantutkan kerjayanya sebagai seorang Penyanyi namun kerana sokongan dan dorongan daripada rakan- rakan membuatkan Penyanyi Neil Sondoh bangkit semula untuk membina semua kerjayanya.

Mengakui kesilapan yang dilakukan dengan permohonan maaf namun masih ada netizen yang memperlekehkan keikhlasan hatinya lantas mengelarnya sebagai 'Tyco Penampang' tetapi Neil tidak lagi mahu mengenang sejarah hitam itu sebagai penghalang untuk dia melangkah kehadapan.

"Memang saya akui, peristiwa itu adalah kesalahan besar yang saya lakukan sepanjang karier saya sebagai Penyanyi.

"Karier saya terus merundum kerana semua stesen radio 'banned' lagu- lagu saya dan tidak ada penganjur yang mahu mengundang saya untuk membuat persembahan.

"Saya benar- benar patah semangat kerana menyanyi adalah kerjaya sepenuh masa, saya tidak habis fikir bagaimana untuk menanggung anak- anak saya yang semakin membesar jika periuk nasi sudah tertutup.

"Mujur saya masih mampu membuat Grab, dengan pekerjaan itu saya meneruskan kehidupan.

"Saya tidak menyalahkan sesiapa dan saya cukup sedar akan kesilapan yang dilakukan tetapi syukur lah di saat saya mahu membuat keputusan untuk terus mengundur diri dari dunia seni, rakan- rakan banyak memberi kata semangat.



"Mereka meyakinkan saya agar tidak mensia- sia kan bakat yang ada dan dalam keadaan apa sekali pun, peluang kedua itu pasti ada," kata Neil kepada FH Media ketika dihubungi.

Kini Penyanyi ini sudah mampu tersenyum kerana pintu rezeki tidak sepenuhnya tertutup untuk dirinya bersama anak- anaknya di mana baru- baru ini dia telah menerima tawaran dari sebuah stesen radio tetapi dia belum dapat mengulas lanjut kerana ianya masih dalam proses perbincangan.

"Berkenaan tawaran tu, saya mohon maaf kerana belum dapat dedahkan secara terperinci, biar lah rahsia dahulu.

"Saya juga bakal mengeluarkan single baharu berjudul TYCO, hasil gandingan lirik saya bersama Noel J ,Mc Ryan, Aegy  dan Komposer daripada bakat tempatan iaitu Roysten.

"Genre mungkin akan lebih fokus kepada genre yang digemari pada masa ini iaitu Hip Hop R & B, ianya di luar dari genre kebiasaan yang selalu saya bawakan kerana semua sedia maklum bahawa saya memang lebih kepada genre Rock.

"Namun seperti yang diketahui, muzik dan seni itu tidak ada sempadan, ianya sangat luas maka sebagai penggiat seni harus rebut setiap peluang yang ada dari pelbagai sudut," akhirinya.