Juarib Ebin Perlahankan Aktiviti Seni Untuk Beri Ruang Kepada Generasi Muda



Pada usia 58 tahun, pasti sudah banyak cabaran yang ditempuhi sepanjang perjuangan Juarib Ebin dalam dunia hiburan. Namun pada usia sedemikian ianya bukanlah titik noktah untuk dia berhenti berkarya dalam Industri seni.

Sehubungan dengan itu FH Media telah menghubungi Penyanyi ini untuk bertanya tentang perkembangan terkininya dalam dunia seni.

Menurut Juraid, dia mendapat pendidikan di sekolah Menengah Kebangsaan Sanzac Kota- Kinabalu dan semasa dibangku sekolahlah dia aktif mengikuti ujibakat yang dianjurkan oleh pihak RTM yang diadakan setiap hari sabtu pada ketika itu.

"Bermula dari situlah saya mula serius dalam dunia seni apabila diberi peluang dalam rancangan Penyanyi Harapan di  RTM, iaitu satu rancangan radio ketika itu dan Rancangan Bakat Harapan yang disiarkan melalui TV sekitar 1978.

"Atas usaha dan minat dalam bidang seni, saya telah berjaya menghasilkan beberapa buah lagu bertajuk Kalumpusan Sinukapu dan Ibok Takau Rumamai (1978), Joget, Alapon Ak Inupian, Sumalu Ra Tubagu,Paat Orow Nagatapan serta Malaa Masailan.

"Semua lagu tersebut saya nyanyikan sendiri dengan iringan oleh D 4 Brother pimpinan Thitus Chin dan Saliat Band dibawa pimpinan Peter Soliat dari Kampung Bunut Tenom. 

"Semua lagu dirakam di studio rakaman RTM Kota Kinabalu, saya juga pernah diringi oleh sebuah kumpulan yang di pimpin oleh Mercilus Saimon," ujarnya.

Sekitar 2005, Juraid mula aktif dalam dunia pengacaraan dalam majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan, Kaamatan Peringkat Daerah Tenom, Pesta Kalimaran, dan ada juga mengacara majlis rasmi. 

"Pada 2014, saya memperlahankan aktiviti seni kerana ingin memberi ruang dan peluang kepada generasi muda.

"Anak- anak muda masa kini lebih kreatif dan berbakat tetapi pada masa sama saya menciptakan lagu untuk mereka ini yang berbakat dalam bidang nyanyian.

"Pada masa ini, saya lebih selesa menjalani kehidupan seperti orang biasa dan membiasakan diri dengan bercucuk tanam secara kecil-kecilan.

"Saya amat berbangga kerana artis-artis kita walaupun dari bangsa KDM tetapi mampu bersaing dengan rakan-rakan artis dari Semenanjung.

"Malah berjaya menjuarai beberapa pertandingan seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Bintang RTM dan banyak lagi.

"Teruskan bergiat untuk memajukan industri seni Sabah agar Penyanyi- Penyanyi kita lebih dikenali," katanya lagi.

Dia turut berkongsi kepada anak-anak yang memang berminat dalam bidang hiburan tidak kira apa juga jenis hiburan, supaya lebih mementingkan displin kerana itu adalah faktor kejayaan seseorang.

"Kepada pihak FH Media, saya susun 10 jari untuk mengucapkan jutaan terima kasih diatas peluang yang diberikan ini untuk berkongsi  sedikit perkembangan serta kegiatan seni saya.

"Saya juga ingin memohon maaf kepada Wartawan yang pernah menghubungi saya untuk ditemubual, saya mohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki," akhirinya.

Bagi mengikuti perkembanganya dari masa ke semasa, bolehlah melayari laman Facebook dengan menaip Joearif Ebin.