Saya Terpaksa Buat Semula Lagu-Lagu Itu - Jaimisseus Manggata



Jaimisseus Manggata atau lebih dikenali sebagai Jomo dikalangan rakan-rakannya, seorang penggiat seni yang berasal dari Kampung Minawo Laut Keningau telah lama menceburi bidang seni sejak dari 1994 lagi.

Kongsinya, di awal pembabitannya, dia merupakan seorang Penulis Puisi Cerpen di suratkhabar Borneo Post, Daily Express, Sabah Times dan juga di radio bermula pada 1984 sehinggalah 1998.

"Pada 1992 saya mula berjinak- jinak dengan bidang nyanyian dan pada 2013 barulah saya dapat mengeluarkan album pertama saya.

"Antara lagu-lagu yang menjadi pilihan pendengar adalah Pasar Malam Keningau, yang mengisahkan tentang kenangan lalu saya ketika masih bercinta dengan seorang gadis dan kami sering bertemu di Pasar Malam Keningau.

"Tetapi malangnya pada akhirnya gadis tersebut berubah hati dan telah meninggalkan saya kerana bertemu dengan lelaki lain," katanya memulakan bicara.

Ceritanya lagi, lagu bertajuk Langad Ku Dika turut mendapat sambutan dari para pendengar. Lagu tersebut menceritakan tentang keinginan untuk kembali dari perantauan kerana rindukan pasangannya, setelah lama tidak berjumpa mengakibatkan dia tidak berasa senang seperti diri meronta-ronta, dirinya tidak dapat tidur dan seperti dipukul-pukul akibat kerinduannya itu.

"Saya sebenarnya dalam perancangan untuk mengeluarkan album kedua saya tetapi malangnya rumah saya telah dimasuki pencuri.

"Saya telah mengalami kerugian apabila television, komputer riba dan tong gas saya telah diambil oleh pencuri tersebut, lagu saya yang telah disiapkan iaitu sebanyak 20 buah lagu yang dihasilkan oleh saya sendiri dan siap untuk dihantar ke studio BR Production turut hilang.

"Saya terpaksa membuat semula lagu-lagu tersebut agar dapat mengeluarkan album kedua saya tetapi ia akan mengambil masa yang lama," katanya.

Di kesempatan itu, Jaimisseus mengucapkan terima kasih kepada para peminat dan penyokongnya atas sokongan selama ini sehingga lagunya yang bertajuk Selami Jiwaku telah tersenarai dalam Carta 13 KeningauFM pada tahun 2019.

"Ucapan terima kasih juga tidak terhingga kepada isteri dan anak-anak yang dikasihi, tidak lupa juga kepada semua keluarga saya yang memberikan sokongan dan dorongan yang kuat," katanya mengakhiri perbualan.