Terjunan Saya Dari Atas Rumah Tersasar - Pilin Ratimin



Suhailin Ratimin atau lebih dikenali sebagai Pilin Ratimin yang memegang watak penjahat dalam filem Avakas merasa terharu dan bangga apabila Avakas berjaya ke peringkat antarabangsa.

Dia merasa sangat bangga kerana Avakas diterima oleh masyarakat tempatan dan juga luar negara.

"Babak saya dalam filem ini hanya sedikit sahaja disebabkan kesibukan, di mana pada waktu itu saya masih melanjutkan pengajian di Kuala Lumpur.

"Tetapi selepas saya kembali ke Sabah, saya telah menghubungi Pengarah Marc Abas untuk mengambil peluang terlibat dalam filem tersebut.

"Saya sudah lama mengenali Marc iaitu sejak terlibat dalam penggambaran telemovie 'Lintah Darat' dan saya juga pernah berlakon dalam Avakas The Headhunter yang di pertandingkan dalam Kota Kinabalu International Film Fest (KKIFF) pada 2015, pada ketika itu Avakas The Headhunter telah memenangi People's Juicesky Choice," katanya.



Tambahnya, dia merasa sangat gembira kerana berpeluang berlakon dengan Pelakon baharu yang berbakat.

"Sepanjang penggambaran filem tersebut, detik yang saya tidak boleh lupakan ialah ketika saya melakukan aksi lasak, di mana terjunan saya dari atas rumah ke atas tilam yang diletakkan di bawah telah tersasar," katanya ketika ditanya pengalaman dan kenangan sepanjang penggambaran filem Avakas.

Dia turut mengucapkan tahniah kepada Marc dan seluruh pasukan produksi, krew dan Pelakon atas kejayaan itu.

"Terima kasih juga kepada peminat Avakas atas sokongan semua, tanpa anda semua tiadalah Avakas, teruskan memberi sokongan dan kami akan lakukan yang lebih terbaik," akhirinya.