Yuri Mejal Terasa Rindu Menikmati Pelbagai Juadah Rumah Terbuka



Seminggu sudah berlalu namun suasana lebaran masih jelas terasa walaupun pada kali ini ianya agak suram dan tidak seperti tahun sebelumnya.

Untuk itu, FH Media mengambil peluang menemubual salah seorang Pelakon Tangisan Aki Nabalu iaitu Yuri Mejal tentang aktivitinya sepanjang Raya tahun ini.

Ceritanya, sambutan lebaran pada kali ini tidak begitu meriah tetapi dia bersyukur atas kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana dia dapat bertemu dengan keluarganya pada Hari Raya  pertama.

"Walaupun pada tahun ini tidak dapat membuat rumah terbuka Aidilfitri tetapi dapat disambut dalam ala kadar dan sekurang- kurangnya dapat menziarahi sanak saudara serta sahabat handai.



"Sebenarnya, saya terasa rindu juga untuk pergi ke rumah terbuka dan menikmati pelbagai juadah yang lazat tetapi demi menghormati undang-undang kerajaan maka perlulah dipatuhi serta menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat," beritahunya.

Menurutnya lagi, sudah menjadi kebiasaan dia akan balik berhari raya di kampung sama ada di Sipitang atau Sandakan di kediaman datuk dan neneknya.

"Seminggu sebelum lebaran saya akan membeli-belah untuk persiapan seperti membeli baju raya dan kelengkapan rumah, sehari sebelum lebaran rumah sudah dihiaskan.

"Tahun ini rutin yang sama dilakukan cuma tidak merasa teruja untuk membeli baju raya tetapi ayah dan ibu sudah menyiapkan kuih raya jadi tidaklah terasa sangat kehilangan kemeriahan sambutan Hari Raya.



"Saya yakin, kerajaan sudah membuat yang terbaik bagi memenuhi keperluan dan membantu rakyat dari segi mengimbangi tekanan ekonomi yang dihadapi, jesteru itu kita sebagai rakyat Malaysia perlu bekerjasama bagi mengatasi masalah pandemik Covit-19 yang berlaku sekarang ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Yuri sedang memutuskan untuk mengeluarkan filem yang berjudul KucingMan iaitu sebuah filem Adiwira Sabah yang bakal menemui penonton dalam bentuk DVD tetapi pergerakan agak terhad ekoran krisis yang melanda sekarang.

"Saya berharap masalah yang melanda sekarang akan segera berakhir dan saya pun boleh berkarya semula.

"Sebelum pertengahan bulan Jun 2020, perancangan untuk membuat pelancaran dan tayangan perdana filem tersebut telah dirancang lebih awal tetapi oleh sebab atas saranan Kerajaan yang tidak membenarkan untuk membuat sebarang perhimpunan maka perancangan tersebut terpaksa dibatalkan dan promosi filem tersebut hanya dibuat melalui laman sosial sahaja.

"Setakat ini ramai yang merasa teruja dan tidak sabar untuk menonton filem tersebut dan berharap ianya dapat dikeluarkan secepat mungkin.

"Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada penyokong dan penggiat seni Hiburan Sabah yang tidak jemu untuk memberikan suntikan semangat kepada saya untuk terus berkarya dan jangan lupa ikuti perkembangan saya menerusi saluran Youtube dan Instagram Yuri Mejal," akhirinya.