Drama ‘The Hotel’ beri perspektif lain isu kesihatan mental



Drama rantaian ‘The Hotel’ ialah sebuah naskhah asal yang mengangkat tentang isu kesihatan mental terbitan syarikat produksi Juida Viden Sdn. Bhd.



Penceritaan drama 24 episod yang menyuntik elemen konflik cinta romantik penuh misteri dan manipulasi yang menyentuh hati sebagai plot utama ini bakal menghiasi slot Megadrama bagi menggantikan drama Hawa.



Idea asal drama ‘The Hotel’ diilhamkan oleh penerbit dan pengarah prolifik, Michael Ang serta turut mendapat sentuhan Helmi Yusof yang memikul tanggungjawab selaku pengarah untuk drama ini. Manakala panel skrip pula dibarisi oleh Nadia Khan, Rahim Ramli, Qawiem Hamizan dan Michelle Yoon.



Drama ‘The Hotel’ turut diserikan dengan kehadiran nama-nama popular seperti Mira Filzah, MK K-Clique, Sean Lee, Natasha Elyzza, Yasmin Hani, Datin Paduka Eina Azman, Farah Ahmad, Daler Yusof, Alif Hadi serta ramai lagi.



‘The Hotel’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 15 September 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.



Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, sejak kebelakangan ini, isu kesihatan mental yang dulu dianggap tabu sudah semakin kerap dibicarakan secara terbuka menerusi pelbagai lambakan berita dan perkongsian di laman sosial.



Tambahnya isu berkaitan gangguan mental tidak boleh dipandang remeh atau cuma dianggap sebagai isu bermusim kerana ia mampu mengancam kualiti kehidupan seseorang.



Realitinya, masalah tersebut boleh dihidapi sesiapa sahaja dan sukar dikesan melalui penampilan luaran semata-mata.



“Menyedari tahap keseriusan isu tersebut, tema kesihatan mental diangkat menerusi drama terbaharu ‘The Hotel’ untuk membuka mata audiens mengenai impak dan betapa bahayanya gangguan yang berkaitan dengan mental sekiranya tidak diberikan rawatan yang betul.



“Kami berharap mesej yang disampaikan menerusi naskhah ini dapat membantu mengubah stigma dan diskriminasi sosial terhadap mereka yang sedang berjuang dengan masalah mental.



“Sebagai anggota masyarakat yang prihatin, kita perlu lebih cakna dan berusaha memahami situasi sukar mereka demi kesejahteraan bersama.



“Syabas saya ucapkan kepada pihak produksi kerana berjaya memberi perspektif berbeza mengenai isu ini dengan pendekatan yang kreatif dan menghiburkan. Semoga anda terhibur dengan penceritaan kali ini,”  katanya.



Penerbit ‘THE HOTEL,’ Michael Ang dalam kenyataannya akui perbincangan untuk menerbitkan naskhah ‘The Hotel’ dibuat, ketika drama ‘Angkara Cinta’ untuk slot Tiara Astro Prima masih lagi dalam proses pembikinan, yang mana tambahnya kebetulan pada waktu itu jadual penggambaran banyak tergendala akibat perlaksanaan PKP.



“Kekangan yang dihadapi sewaktu PKP akibat pandemik mencetuskan idea untuk membuat cerita yang hanya berkisar dalam sebuah hotel sahaja.



“Selalunya, ramai dalam kalangan yang berduit dan kaya tinggal di hotel. Idea asal tersebut kemudiannya diolah dan dikembangkan untuk memberi kelainan yang menghiburkan.



“Ramai orang berpendapat bahawa drama ini meniru konsep K-drama ‘Hotel De Luna’ dan ‘Penthouse’ namun andaian tersebut tidak benar sama sekali kerana naratif penceritaan ‘The Hotel’ amat berbeza kerana ia digarap berdasarkan situasi sewaktu kita berhadapan dengan PKP.



“Genre yang diketengahkan menerusi drama ‘The Hotel’ ini merupakan ‘testing ground’ buat kami untuk melihat sejauh mana keterbukaan masyarakat dalam menerima konsep sebegini bagi drama Melayu.



“Selama ini mereka sering mendakwa bahawa penonton asyik disajikan dengan cerita orang kaya dan kisah cinta yang klise. Jadi, kami bawakan kisah ‘The Hotel’ yang mengangkat isu-isu tabu yang selama ini ibarat hanya sekadar disapu ke bawah karpet untuk memberi kelainan,” katanya.



Daripada segi pemilihan MK K-Clique sebagai hero utama katanya, adalah hasil perbincangan bersama dengan pihak Astro yang mahukan wajah baharu dengan aura tersendiri untuk memberi kelainan.



“Walaupun pada awalnya nampak kekok dan masih banyak ilmu teknik lakonan yang perlu ditimba, namun saya kagum dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh MK dalam masa yang singkat.



“Saya juga gembira dengan ‘chemistry’ yang wujud di antara Mira dan MK dalam drama ini.



“Semoga penceritaan ini dapat diterima baik oleh semua kerana kami sudahpun berusaha sebaik mungkin untuk menambat hati penonton,” ujarnya