GV8 medan penentu 13 pesaing dari tiga negara serumpun



‘Gegar Vaganza’ atau ‘GV’ ialah satu-satunya program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian terbitan Astro Ria yang menyediakan platform komersial penjenamaan semula kerjaya seni khusus untuk barisan penghibur berpengalaman di Malaysia.

Bakal membuka tirai menerusi penganjuran edisi kelapan dengan tagline ‘Bintang Kembali Menyengat’, pentas berprestij ‘GV8’ akan menjadi medan penentu bagi 13 pesaing utama mewakili tiga negara serumpun iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia yang pernah menempa nama di persada seni hiburan suatu ketika dahulu.

Kemampuan 13 bintang utama yang bakal menjadi pertaruhan edisi kali ini terdiri daripada enam penyanyi solo lelaki, lima penyanyi solo wanita dan dua penyertaan secara duo atau berkumpulan.

Enam bintang solo lelaki yang akan memberi saingan sengit untuk musim ini ialah Aweera, Azan Scan, Dato’ Fazley Yaakob, Shidee, Bandi Amuk dan Aliff Aziz (Singapura).

Sementara senarai penyanyi solo wanita yang menyahut cabaran untuk berentap dalam ‘GV8’ ialah Adibah Noor, Ani Maiyuni, Suki, Nikki dan Upiak Isil (Indonesia). 

Musim ini juga turut meriah dengan kehadiran pelawak terkenal, Saiful Apek & Yassin serta Nico yang mewakili penyertaan secara duo dan berkumpulan. 

‘GV8’ masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh barisan juri profesional. Peserta yang mendapat markah terendah pada setiap minggu akan disingkirkan. 

Untuk rekod, pertandingan ‘GV’ telah menobatkan lapan juara sepanjang penganjuran untuk tujuh musim sebelum ini yang terdiri daripada Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Aishah (GV4),  Noryn Aziz (GV5), Naqiu & Hady Mirza (GV6) serta Cliff Umar (GV8).

Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, program GV telahpun menginjak tahun kelapan, keampuhan populariti dan kredibiliti jenama ‘GV’ kini semakin matang. 

“Menyorot kembali perjalanan program ini sewaktu mula diperkenalkan sekitar 2014, matlamat utama kami ialah untuk menyediakan platform penjenamaan semula bagi para penghibur berpengalaman yang pernah merasai era kegemilangan suatu ketika dahulu sekaligus membuka lembaran baharu dalam kembara seni mereka.

“Inisiatif yang dirintis telah berkembang dan terbukti berjaya meletakkan ‘GV’ sebagai pencetus fenomena sosial yang mempunyai kekuatan dan impak tersendiri untuk mempengaruhi kecenderungan peminat saban tahun. 



“Berdasarkan pengalaman menerbitkan tujuh edisi sebelum ini, ‘GV’ bukan sahaja mampu menjulang kembali nama bintang-bintang berbakat yang pernah bertanding di pentas berprestij ini, malah turut berperanan untuk meletakkan kerjaya seni mereka di landasan yang betul seiring dengan peredaran zaman. 

“Walaupun masih mengguna pakai formula kejayaan yang sama, kami tetap menitik beratkan perincian kandungan ‘GV8’ yang ditambah baik agar lebih mantap. 

“Kami percaya para audiens terutamanya pengikut setia program ‘GV’ sudahpun lali dengan pelbagai kejutan yang dibawa masuk bagi merancakkan lagi mutu dan perjalanan pada setiap musim. Pastinya, satu lagi sejarah bakal dilakar menerusi penganjuran edisi kali ini.

“Persaingan 13 bintang dari tiga negara serumpun merupakan antara tarikan utama ‘GV8’ pada kali ini. 

“Selain itu, kami turut melantik tiga juri tetap yang memiliki reputasi luar biasa dan cukup disegani di kalangan penggiat seni berbanding hanya dua orang sahaja sebeum ini. Ketiga-tiga mereka akan turut ditemani oleh seorang juri jemputan pada setiap minggu menjadikan proses penjurian musim ini akan lebih sukar dan mencabar. 

“Bahang kehangatan semakin terasa. Besar harapan kami agar penganjuran ‘GV8’ berjaya mengulangi kejayaan musim-musim ini dan mencipta fenomena yang tersendiri. Semoga terhibur,” akhirinya.

TRIVIA MENGENAI ‘GV8’

1.Penerbitan ‘GV8’ turut disokong oleh Farm Fresh yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Digi selaku Telco Rasmi. Manakala Adabi dan CUCKOO turut menghulurkan sokongan selaku Penaja Bersama.

2.Bagi merancakkan tajaan untuk musim ini, Digi selaku Telco Rasmi dengan berbesar hati bakal membawakan ‘Anugerah Betul-Betul Luar Biasa’. Dalam pada itu, Adabi selaku Penaja Bersama turut memperkenalkan anugerah ‘Bintang Paling Power Meow’. Manakala anugerah ‘Bintang CUCKOO Paling Gempak’ yang dibawakan oleh CUCKOO selaku Penaja Bersama juga turut kembali dalam penganjuran musim ini. Perincian mengenai anugerah khas yang diperkenalkan pada musim ini akan diumumkan dari semasa ke semasa.

3.Selain itu, penganjuran ‘GV8’ juga dimeriahkan dengan kolaborasi bersama Astro Go, Gempak dan Ria X selaku Rakan Digital serta SINAR sebagai Rakan Radio Rasmi untuk musim ini.

4.Maestro muzik tersohor negara yang sudah sebati dengan pentas ‘GV’ sejak musim pertama, Datuk Haji Ramli MS masih lagi dikekalkan sebagai juri tetap untuk musim terbaharu. Manakala penghibur lagenda Indonesia yang juga tidak asing lagi di kalangan peminat ‘GV’, Hetty Koes Endang turut kembali ke kerusi juri tetap pada musim ini. Sebelum ini, Ibu Hetty pernah menyandang tugas sebagai juri tetap untuk musim ‘GV4’ dan ‘GV6’.

5.Pertandingan ‘GV8’ juga bakal menyaksikan proses penjurian yang lebih sukar dan mencabar dengan perlantikan Datuk Syafinaz Selamat sebagai juri tetap di samping Tok Ram dan Ibu Hetty.

6.Selain itu, seorang juri jemputan profesional juga turut diundang khas secara bergilir-gillir pada setiap minggu untuk menyertai barisan juri tetap bagi mengadili persembahan para bintang.

7.Gandingan selebriti versatil popular yang cukup serasi, Nabil Ahmad dan Jihan Muse masih diberi kepercayaan untuk mengendalikan pentas utama selaku ‘Hos’. Sementara itu, personaliti SINAR; Falyq Hikyle dilantik sebagai ‘Hos’ untuk program ‘Kapsul Gegar Vaganza’. Manakala pelawak dan personaliti GEGAR; Issey dan Fiza Frizzy pula digandingkan sebagai ‘Hos’ untuk program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ yang akan disiarkan secara serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

8.Juara ‘GV8’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM30 ribu beserta trofi. Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM20 ribu, RM15 ribu dan RM10 ribu beserta trofi.

INFO SIARAN RANGKAIAN PROGRAM ‘GV8.

Rangkaian program ‘GV8’ akan disiarkan secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) atau strim di platform digital menerusi aplikasi Astro Go dan portal Gempak.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza S8’ pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 15 November 2021. 

Bagi yang terlepas untuk menonton, program ‘Kompilasi Kapsul Gegar Vaganza S8’ akan disiarkan khas pada setiap hari Sabtu, jam 7.00 malam mulai 20 November 2021.

Konsert mingguan ‘GV8’ pula akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 21 November 2021.

Untuk pengisian di platform digital, program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV8’ bermula 21 November 2021.

Istimewa untuk pelanggan NJOI, konsert minggu pertama ‘GV8’ juga bakal disiarkan secara serentak di saluran Astro Prima (105). Selain itu, siaran penuh konsert minggu pertama juga boleh distrim menerusi program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ di platform Gempak pada hari tersebut.

Bagi memberi pilihan yang lebih fleksibel, siaran konsert penuh minggu pertama ‘GV8’ juga boleh distrim melalui aplikasi sooka secara percuma menggunakan peranti mudah alih. Untuk melanggan pelan VIP Entertainment bagi menikmati keseluruhan musim ini sepanjang 10 minggu, muat turun aplikasi sooka di Apple AppStore dan Google PlayStore atau layari www.sooka.my