Johnny Damianus kongsi pengalaman berlakon dalam Tribesman The Last Red Hunter



Watak antagonis sudah tidak asing lagi bagi Pelakon Johnny Damianus, dengan itu tidak hairanlah dia mendapat peranan sebagai Andasak yang mempunyai kemahiran seni bela diri yang tinggi iaitu Silat dalam Filem Tribesman The Last Red Hunter.



Watak Andasak yang dilakonkannya ialah seorang yang menurut perintah dan sanggup melakukan apa sahaja walau diminta menamatkan riwayat pihak musuh.



 



"Bagi saya tidak menjadi masalah membawa watak tersebut kerana yakin dengan pengalaman yang saya ada, masalah hanyalah ketika bertutur bahasa Murut kerana itu bukan bahasa ibunda saya.



"Ada satu babak yang menjadi kenangan bagi saya di mana saya berlari tanpa memakai selipar di sungai dan digigit semut api yang boleh tahan pedasnya, syukur masih boleh disembuhkan dengan ubat - ubatan dan saya juga sudah sedia maklum hal tersebut," katanya ketika dihubungi.





Dia merasa bertuah kerana sepanjang penggambaran, dia dapat berjumpa dengan rakan seperjuangan serta berpeluang berkenalan dengan orang baharu.



 



"Jalan ceritanya begitu menarik seperti pertembungan antara zaman, menonjolkan suku kaum yang ada dan memaparkan keindahan alam semula jadi di Sabah, ianya patut disaksikan dan di sokong oleh semua suku kaum.



"Saya mengharapkan kita semua memberi sambutan yang meriah akan filem ini kerana dari kita sahaja yang mampu mengembangkan karya tempatan.



"Tidak apa kalau kita bermula 'Zero To Hero' sampai bila kita harus menyokong filem dari luar? Cerita Sabah mempunyai keunikannya tersendiri yang belum lagi dipertontonkan ke dunia luar.



"Dengan itu melalui Filem Tribesman kita mampu membawanya, datanglah ke panggung wayang berdekatan dengan anda pada 25 Mei 2023 ini untuk sama- sama menyaksikan," ujarnya.





Dalam perkembangan terkini, Johnny baharu saja selesai berlakon dua buah filem pendek yang berjudul Nomina dan Budak Todak serta sebuah telemovie sempena Hari Malaysia yang akan ditayangkan pada September nanti.