Belanjawan 2024: 160 juta ringgit untuk penggiat seni dan 350 juta ringgit untuk pelancongan



Kuala Lumpur: Negara Malaysia kaya dengan kerencaman budaya dan warisan selain khazanah alam yang tidak ternilai, dengan mengungguli pelancongan pasaran khusus atau niche market dalam segmen ekopelancongan, selam skuba, sukan golf, majlis perkahwinan dan pelancongan kesihatan. Potensi besar ini wajar digarap dengan suatu rangka kerja rapi bagi mencergaskan semula sektor pelancongan agar menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara.



 



Oleh yang demikian, Tahun Melawat Malaysia telah ditetapkan semula pada tahun 2026 dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak 97.6 bilion ringgit.



Selain itu, kerajaan menyediakan 350 juta ringgit bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia. Ini antaranya merangkumi:



 



• Penganjuran Kempen Melawat Malaysia 2026;



• Kerjasama dengan industri dalam aktiviti promosi dan penganjuran acara pelancongan dalam dan luar negara;



• Bantuan kepada lebih 200 penggiat kebudayaan dalam menganjurkan aktiviti seni dan budaya;



• Geran padanan penerbangan carter dalam meningkatkan kemudahsampaian penerbangan antarabangsa ke Malaysia; dan



• Dana kepada Pusat Pelancongan Islam (ITC) untuk membangunkan industri pelancongan mesra muslim di Malaysia.



 



Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur petang tadi.



Selain itu juga bakat-bakat kreatif tempatan akan terus disokong bagi menggalakkan penghasilan lebih banyak karya seni di Malaysia. Kerajaan menyediakan 160 juta ringgit untuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk manfaat penggiat seni. Antaranya:



 



•60 juta ringgit di bawah Dana Kandungan Digital untuk mempromosi karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan;



•90 juta ringgit di bawah inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI) untuk terus menggalakkan penghasilan filem bertaraf antarabangsa; dan



•10 juta ringgit bagi menyediakan Skim Dana Padanan MyCreative dalam menyokong anak-anak seni dalam penghasilan projek kreatif.



“Susulan keputusan Negeri Selangor yang menurunkan kadar duti hiburan, Kerajaan turut bercadang untuk menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu seperti berikut:



 



•Pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis tempatan;



•Pengurangan kepada 5 peratus duti hiburan bagi taman tema, pusat rekreasi keluarga, pusat permainan indoor dan simulator; dan



•Pengurangan kepada 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis antarabangsa dan acara hiburan lain seperti tayangan filem serta acara sukan dan permainan.



 



“Kesempatan ini juga saya ambil untuk menyeru kerajaan negeri supaya dapat mempertimbangkan pengurangan duti 51 hiburan yang dilihat mampu menyokong perkembangan bakat-bakat kreatif tempatan di samping merancakkan lagi aktiviti pelancongan negara.



“Saya telah meneliti input yang diterima semasa Jelajah Belanjawan MADANI di negeri Johor terkait pendekatan Kerajaan dalam menggalakkan kemasukan produksi filem asing ke Malaysia dan seterusnya menyaingi tawaran insentif negara lain,” katanya.



 



Kerajaan bercadang untuk menetapkan kadar cukai pendapatan khas antara 0 hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon filem asing dan kru filem yang menjalankan penggambaran filem di Malaysia.



Sebagai pengiktirafan dan penghargaan tahap tertinggi kepada tokoh-tokoh dan penggiat seni, budaya dan warisan, Kerajaan akan kembali menganjurkan Anugerah Seni Negara secara tahunan.


Comment As:

Comment (0)

No comment found!