Masalah pemasaran muzik kini ada jalan penyelesaian



Putatan: Syarikat Penerbitan dan Pengedaran Filem dan Muzik terkemuka di Sabah, F Harmthon Production Sdn Bhd (FHPSB) mengumumkan telah membuat satu inovasi digital dalam pemasaran filem dan muzik di Negara ini.



Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan syarikat terbabit, Freddy Harmthon (FH) mengakui langkah yang diambil oleh syarikatnya itu belum pernah dilaksanakan sebelum ini oleh mana-mana syarikat dan kaedah ini antara yang pertama di Malaysia.



“Era Cakera Padat (CD) sudah berlalu dan pengkarya muzik kini tidak lagi mampu menjana pendapatan melalui lagu yang dihasilkan. Adapun cara, hanya dengan memuat naik di laman sosial dengan mengharapkan peratus pendapatan tontonan.



“Apa yang berlaku dalam industri adalah, lagu-lagu yang dimuat naik di media sosial sangat mudah dimuat turun dan kurang mendapat pulangan yang setara atau lebih daripada kos pembikinan sesebuah lagu.



“Namun kini, dengan langkah yang telah kita ambil ia boleh menyelesaikan secara tuntas masalah dalam industri muzik.



“Masalah utama kita adalah tidak ada ruangan pemasaran yang sistematik, dan pemungutan royalti. Perkara ini menyababkan industri kita tidak mampu maju ke hadapan,” katanya.



 



Syarikat FHPSB yang kini telah membangunkan sebuah laman web yang dinamakan FH Cinema kini bukan hanya dapat memasarkan lagu dalam bentuk album tetapi juga dalam bentuk karaoke.



“Jika sebelum ini, semua lagu boleh didengar di media sosial secara percuma, tetapi kini lagu dalam bentuk album kini boleh dimuat naik di dalam laman web FH Cinema secara berbayar dan mampu menjana kewangan penerbit atau penyanyi.



“Album dalam bentuk audio dan karaoke boleh dilanggan oleh pendengar dengan hanya RM5 untuk langganan satu tahun.



“Seperti yang kita lihat, ramai penggemar muzik mendengar lagu dan berkaraoke di media sosial dan menyebabkan penggunan CD serta Hard Disk semakin berkurangan. Maka dengan ini, pemasaran digital sangat penting dan FH Cinema adalah langkah yang sangat baik untuk memastikan produk muzik dapat dipasarkan,” tambahnya.



 



Beritahunya lagi, pengagihan royalty lagu turut menghantui penggiat seni muzik kerana banyak lagu yang digunakan, tidak mendapat royalti yang sewajarnya. Sungguhpun ada badan pemungut royalti seperti MACP dan kini MRS untuk lagu-lagu etnik Sabah, tetapi ia masih juga belum menyelesaikan isu pungutan royalti secara tuntas.



“Sekurang-kurangnya dengan adanya platform digital ini, lagu-lagu tersebut dilanggan oleh pendengar dan royalti dipungut oleh badan pemungut royalti bila lagu tersebut digunakan dikhlayak ramai.



“Pusat hiburan, karaoke bergerak dan radio online juga perlukan lagu, maka dengan adanya platform ini bukan hanya dapat membekalkan lagu-lagu terkini, tetapi turut menjana pendapatan penggiat seni,” ujarnya.



 



Menurut FH lagi, pembangunan platform digital FH Cinema ini bukan hanya mampu menjana ekonomi penggiat seni tetapi ia juga satu langkah untuk menjana peluang pekerjaan yang luas dalam bidang ini.



 



”Jika platform ini digunakan sebaik mungkin, ramai penerbit mampu menjana pendapatan sehingga ratusan ribu setahun. Dan dengan pendapatan seperti ini, sudah pasti banyak produksi yang berlumba-lumba untuk mencipta produk, lantas menjana peluang pekerjaan yang luas dalam bidang ini.



“Bayangkan saja jika 100 buah syarikat seluruh Malaysia menaja satu lagu untuk artis, maka sekurang-kurangnya 10 orang, atau 1000 orang pada keseluruhannya akan mendapat peluang pekerjaan yang mana terlibat dalam pembikinan klip video tersebut, seperti model Klip video, juru solek, juru video, juru sunting video, pencipta lagu, pencipta lirik, jurutera bunyi, penyusun muzik, dan pemuzik.



 



“Jika satu album yang memuatkan 10 lagu untuk satu produksi, maka 10,000 orang akan mendapat peluang pekerjaan dalam masa satu tahun. Bukankah ini dapat menyelesaikan isu pengangguaran, dan dapat menjana pendapatan produksi serta kru yang terlibat?” katanya lagi.



FH turut mengalu-alukan semua pemain dalam industri muzik sama ada di Malaysia atau luar Negara untuk memasarkan produk mereka di FH Cinema.



“Kami telah menyediakan ruang untuk membantu penggiat muzik di Negara ini yang mampu membantu karyawan seni untuk mencipta kerjaya termasuk menjana pendapatan. Namun jika platform ini tidak digunakan sebaik mungkin, maka ia tidak akan bermakna.



 



“Maka, mari kita sama-sama mengembleng tenaga memajukan industri ini. Anda boleh menghantar karya masing-masing dan hubungi saya di 019 -300 9618 dan kita bincang bagaimana untuk memasarkan produk anda. Kita tidak minta bayaran untuk promosi, ia percuma,” akhirinya.