Industri Perfileman Sabah belum boleh dijadikan pekerjaan tetap - Chester



Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak filem panggung terbitan Syarikat filem Sabah telah diterbitkan yang mana kesemuanya adalah memperolehi dana daripada Perbadanan kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).



Dengan adanya banyak filem terbitan syarikat filem Sabah, ia sudah pasti memberikan peluang pekerjaan yang luas kepada masyarakat di negeri ini yang bukan hanya tertumpu kepada bahagian lakonan, tetapi juga peluang pekerjaan di belakang tabir seperti juru sunting bunyi, pembikin muzik, juru sunting video, grafik, bahagian perkeranian, sewaan pakaian, juru solek, dan kru penggmbaran.



Jika dilihat filem terbitan syarikat  perfileman Semenanjung, banyak filem yang mencecah pungutan sehingga jutaan ringgit namun berbeza dengan di Sabah kerana belum ada filem Sabahan yang mampu mencapai pungutan Box Office.



Sungguhpun dilihat mampu menjana peluang pekerjaan yang luas namun pada hakikatnya hanya Penerbit sahaja yang tahu bagaimana susahnya untuk bertahan dalam bidang ini.



Pendapatan sebagai Penerbit filem bukanlah seperti yang disangka ramai pihak kerana banyak faktor yang harus diambil perhatian termasuk kos dan pendapatan bagi satu filem, serta masa memperolehi keuntungan.



Perkara ini diakui oleh Penerbit, Pengarah Filem dan Presiden Persatuan Filem dan Video Kota Kinabalu (KKFVA) Chester Pang baru-baru ini di ruangan Facebooknya.



Ujarnya, bidang perfileman di Sabah belum boleh dijadikan sebagai pekerjaan tetap bagi majoriti penggiat filem di Sabah. Perkara tersebut disebabkan oleh pendapatan yang bergantung dengan stesen Televisyen.



“Kalau projek dari FINAS, biasanya anda hanya diberi geran bantuan untuk laksanakan projek dan perlu cari dana tambahan sendiri.



“Sejak 2019, kami hanya pernah menerima dua projek daripada stesen Televisyen (RTM) iaitu sebuah Telemovie dan Majalah Masakan. Manakala pada 2022 mendapat projek daripada dari TVS, iaitu satu Travelog dan awal 2023, iaitu dokumentari enam episode. Itupun baru siap dan tengah tunggu QC kemudian bayaran.



“Bayangkan 5 tahun baru dapat empat projek. Biasanya purata pendapatan untuk terbitan ialah antara 20% - 40%. Sebagai contoh telemovie, biasanya bayaran RM120,000 dan untung dalam anggaran RM25,000.



“Proses antara enam hingga lapan bulan kemudian baru dapat bayaran. Bayangkan lagi jika anda perlu bayar sewa pejabat, gaji perkerja, EPF, Internet, Akauntan, Auditor, ansuran kereta & lain-lain. kamu rasa cukup kah,” ciapnya.



Ujarnya lagi, sewa pejabat sebanyak RM2,000 selama 12 bulan akan mencecah sehingga RM24,000 dan belum termasuk kos-kos lain.



“Nasib baik ada pinjaman 100K dari Sabah Credit, rumah refinance, loan bonus insuran, KWSP, tapi yang tiga itu masih perlu dibayar jadi macam mana? Kedai saya di Beaufort pun sudah kena tarik. Hangusss. Jika tidak melibatkan sewaan pejabat atau membayar staff, mungkin kurang bebanan yang ditanggung,” kesalnya.



Dalam nada kesal dalam ciapannya, beliau turut menyarankan kepada penggit filem yang baharu ingin menceburi bidadng ini untuk melakukan perkerjaan lain atau mencari pendapatan tetap agar dapat bertahan dalam bidang perfileman.



“Bulan lepas saya berpeluang berkenalan dengan beberapa penerbit di Kuala Lumpur. Mereka setiap tahun mendapat tiga hingga empat projek dari RTM tetapi mereka masih membuka gerai-gerai jualan untuk mencari pendapatan tambahan sementara tunggu projek.



Saya mungkin akan mula jual barangan telekomunikasi sementara mencari ikthiar dalam bidang ini.



“Demi untuk teruskan hidup, dan untuk menyara keluarga anda perlu terus berusaha. Ingat, masa tetap berjalan walaupun kau tiada duit, sakit, dikritik, diburuk-burukan atau dipuji-puji,” akhirinya.